2019 medan terbaik usahawan luas perniagaan

Penutup tahun 2018 menyaksikan pelbagai perubahan telah berlaku setelah Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional yang berakhir selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Perubahan ini bukan sahaja melibatkan politik, pengurusan dan perkhidmatan, malah indutri perniagaan turut tidak tercicir menerima suntikan perubahan baharu.

NiagaTimes meramalkan 2019 bakal menjadi tahun gemilang kepada para usahawan dalam memperluaskan perniagaan masing-masing berdasarkan beberapa faktor berikut:

MED KEMBALI BEROPERASI

Pembentukan kabinet baharu sebulat suara memutuskan untuk kembali membuka Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) setelah ia dihapuskan pada tahun 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Berita gembira ini sudah pasti disambut baik usahawan tempatan kerana mereka kini tidak perlu keliru tercari-cari kementerian yang bertanggungjawab menyelia aktiviti dan permasalahan mereka. Portfolio menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof juga bukan calang-calang kerana beliau cukup dikenali sebagai seorang usahawan hebat.

DASAR KEUSAHAWANAN NEGARA

Usaha memperkasakan usahawan kini sedang digiatkan melalui pelan tindakan Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF) berdasarkan 21 objektif strategik yang dirangkumkan di dalam empat teras strategi utama. Dokumen strategik NEF ini telah dilancarkan pada November lepas dengan mengambil kira semua pandangan, cadangan dan harapan semua pihak di mana ia menjadi panduan sebelum Dasar Keusahawanan Negara yang lengkap dijangka akan diumumkan pada pertengahan tahun 2019.

BELANJAWAN 2019 TUMPU USAHAWAN

Fokus ketiga Belanjawan 2019 dengan tema sasaran โ€˜Memupuk Budaya Negara Keusahawananโ€™ sendiri menunjukkan betapa pentingnya industri perniagaan dalam ekosistem Malaysia pada tahun berikutnya. Pelbagai insentif dan skim ditawarkan khusus untuk usahawan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti jaminan pembiayaan sehingga 70 peratus dengan peruntukan sebanyak RM20 bilion Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), RM100 juta untuk industri halal, RM2 bilion galakan eksport kredit serta perlindungan melalui EXIM Bank dan banyak lagi berupaya menjadi galakan usahawan menaikkan potensi masing-masing.

GUNA PAKAI TEKNOLOGI INDUSTRI 4.0

Setelah bertahun-tahun bereksperimentasi dan menyusup secara perlahan-lahan, akhirnya Dasar Industri 4.0 Kebangsaan yang juga dikenali sebagai Industry4WRD dilancarkan secara rasmi pada Oktober lepas. Pelancaran ini bermakna kecanggihan teknologi industri keempat akan digunakan secara total. Kerajaan sendiri telah memperuntukkan sebanyak RM210 bilion bagi merealisasikannya. Golongan usahawan turut tidak ketinggalan apabila sebanyak 500 PKS disenaraikan sebagai kumpulan pertama yang akan mendapat manfaat teknologi tersebut melalui program Penilaian Kesediaan Industry4WRD bermula 2019. Ada teknologi, bermakna pasti akan bertambah produktiviti.

Lupakan yang lama, mulakan yang baru. Semoga tahun 2019 akan menghasilkan kemasyhuran yang lebih gemilang kepada semua usahawan tempatan. Anda boleh, kita boleh, Malaysia boleh!

2019 medan terbaik usahawan Malaysia.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.