2021: Ke garisan, sedia, jom eksport ke UK!

OLEH: Simon Suresh

Tahun 2020 berakhir dengan penuh onak duri terutama bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Kebanyakan daripada kita mengimpikan tahun 2020 penuh dengan warna-warni dengan status negara maju di samping kereta terbang berlegaran di angkasa. Namun semua harapan terkubur apabila kita dikejutkan dengan krisis pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi global yang telah menjejaskan sektor-sektor penting.

Kebanyakan usahawan telah mengambil pendekatan untuk menilai semula struktur dan model perniagaan untuk penyesuaian dan penambahbaikan dengan persekitaran yang tidak menentu. Langkah pragmatik turut diambil dengan mencari peluang-peluang baru yang lebih menguntungkan seperti beralih ke digitalisasi dan beroperasi di platform e-dagang berbanding sistem perniagaan konvensional.

Melihat kepada trend konsumer global semasa di mana jualan di platform e-dagang mencatat keuntungan USD5.27 trilion, dijangka lebih ramai PKS akan beralih dan memanfaatkan e-dagang sebagai platform utama perniagaan.

Bagi memperkasakan PKS yang menghadapi masalah aliran tunai di samping merangsang kembali pertumbuhan ekonomi, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) seperti peralihan kepada digitalisasi, geran, moratorium dan menggalakkan PKS untuk memanfaatkan pensijilan halal bagi meneroka pasaran halal antarabangsa yang berjumlah USD1295 juta.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa pasaran domestik hari ini telah tepu. Hal ini demikian kerana kita mempunyai lambakan produk PKS sedia ada selain daripada kelahiran peniaga-peniaga baru ibarat cendawan tumbuh selepas hujan akibat daripada kehilangan pekerjaan, namun, rakyat kita sendiri tidak mampu untuk berbelanja bagi menyokong golongan ini.

Memandangkan pintu sempadan masih ditutup bagi sebarang aktiviti perdagangan, ‘e-marketplace’ merupakan platform yang terbaik bagi usahawan untuk meneroka pasaran global di samping memasarkan produk kepada kumpulan sasaran pembeli yang lebih besar pada kadar yang berpatutan.

Pasaran eksport ke rantau Eropah merupakan antara solusi yang terbaik bagi usahawan dalam mengambil kesempatan semasa ketidaktentuan perdagangan global ini.

Ramai yang tidak tahu bahawa masyarakat Islam di sana bergelut untuk mendapatkan barangan halal. Bagi mereka, pengiktirafan halal adalah lima kali lebih penting berbanding harga yang berpatutan. Malaysia mempunyai kelebihan yang amat besar di mana sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim diperakui seluruh dunia.

Antara platform dalam talian yang membantu PKS mengeksport produk halal ke Eropah adalah Halal Street UK. Platform ini menawarkan perkhidmatan perniagaan-atas-perniagaan dan perniagaan-atas-pelanggan dengan mempromosikan barangan halal yang mendapat pengiktirafan daripada badan-badan bertauliah.

Masih ramai yang sangsi dengan potensi pasaran halal di Eropah, tetapi sudah ada usahawan yang berjaya memasarkan produk ke sana terutama ke United Kingdom (UK) menerusi platform e-dagang Halal Street UK. Permintaan pelanggan di sana tidak terhad kepada makanan dan minuman (F&B) sahaja.

Antara sektor halal yang lain turut mendapat permintaan tinggi di UK termasuk fesyen, kosmetik, makanan tambahan halal, farmaseutikal dan Pendidikan Islam. Sebagai contoh, pewarna rambut mesra wuduk dan pelitup muka batik antara yang menjadi kegilaan masyarakat di sana.

Baru-baru ini, beberapa usahawan telah mendapat tempahan produk daripada kerabat diraja negara jiran yang menetap di negara Big Ben. Ini merupakan motivasi buat usahawan untuk bangkit selain daripada anjakan paradigma untuk terus melangkah ke hadapan.

Perintah Kawalan Pergerakan kini sekali lagi dilaksanakan bagi melandaikan lengkung kes Covid-19 dan kita sedang menuju ke arah kemelesetan ekonomi global. Usahawan perlu mengubah mentaliti mereka menjadi lebih inovatif dan proaktif. Kunci kejayaan terletak di tangan mereka sendiri dalam merebut sebanyak peluang yang tersedia dan meneroka pasaran baru.

Kami di Halal Street UK sedar dan cakna akan kepayahan dihadapi usahawan PKS. Azam dan iltizam kami bagi tahun 2021 ialah membantu lebih ramai usahawan dengan menyediakan saluran eksport ke United Kingdom. Diharapkan tahun ini menjadi lebih baik buat kita semua ibarat bunga berkembang mekar selepas hujan. 2021; ke garisan, sedia, jom eksport ke UK!

-NIAGATIMES

** Simon Suresh merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Street UK Ltd

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi NiagaTimes mahupun niagatimes.com)

Export-to-UK.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.