Kerajaan Selangor buat julung kalinya telah melancarkan Liga Usahawan Selangor, sebuah pertandingan keusahawanan yang mengumpulkan sejumlah 350 usahawan dari setiap lapisan masyarakat dan umur bermula dari pelajar sekolah menengah, pelajar universiti, usahawan orang kelainan upaya (OKU) dan usahawan eksport.
Majlis pelancaran pertandingan berkenaan telah dirasmikan oleh Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, secara atas talian menerusi aplikasi Zoom, semalam.
Menurut Rodziah, cetusan idea untuk memulakan satu pertandingan di antara usahawan ini hadir apabila pihaknya mendapati usahawan-usahawan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Komuniti Belia Selangor (SAY) menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang.
“Maka, pertandingan ini adalah untuk mencari yang terbaik di antara yang terbaik.
“Program ini juga diharapkan mampu memberikan pengalaman dan akses perniagaan yang lebih mampan kepada setiap peserta di samping melahirkan usahawan yang inovatif selaras dengan arus perdana Revolusi Perindustrian 4.0,” ujarnya.
Tambahnya lagi, edisi sulung Liga Usahawan Selangor ini akan dibuka kepada semua usahawan PKNS dan SAY sahaja bagi merebut piala dan sijil penghargaan dengan PKNS selaku pelaksana program.
“Setiap usahawan akan dinilai melalui tiga kriteria utama, pasaran perniagaan (Market Share), jumlah pendapatan dan pembentangan perniagaan di peringkat akhir ‘Pitch In Session’ sebelum dinobatkan selaku juara edisi pertama Liga Usahawan Selangor.
“Kerajaan negeri Selangor berharap program seperti ini dapat memupuk semangat setiap usahawan agar terus berdaya saing dan sekaligus dapat merancakkan lagi ekonomi negeri walaupun dalam keadaan negara dilanda pandemik,” katanya.
-NIAGATIMES