Agrobank mengumumkan 36 pelanggan sebagai pemenang hadiah wang tunai yang berjumlah RM360,000 melalui Kempen Ar-Rahnu ‘Gadai & Menang’ yang berlangsung selama 12 bulan antara 1 November 2019 dan 31 Oktober 2020.
Pemenang kempen yang pada mulanya ditawarkan hadiah dalam Pakej Umrah (bagi pelanggan Islam) dan Pakej Percutian (bagi pelanggan bukan Islam), kini akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 setiap seorang menerusi satu program cabutan bertuah yang diadakan dalam tempoh kempen.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihak pengurusan Agrobank telah memutuskan untuk mengubah bentuk hadiah bagi kempen ini dengan mengambil kira situasi pandemik Covid-19 sepanjang tahun 2020 dan 2021, serta peralihan ke fasa endemik yang bermula 1 April lalu.
“Kami menukar hadiah bagi pemenang bagi kempen ini, kerana kami faham dan pertimbangkan kekangan serta cabaran kewangan atau masalah kesihatan yang mungkin dihadapi para pelanggan kami.
“Mungkin dengan perubahan masa, hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000 akan lebih bermanfaat untuk memenuhi keperluan semasa mereka,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Tambahnya, bagi tahun 2022, Agrobank akan memperkenalkan kempen Ar-Rahnu yang baharu yang bermula April ini, dikenali sebagai Kempen Pelanggan Rujukan Ar-Rahnu di mana pelanggan akan menerima ganjaran wang tunai bagi setiap permohonan rujukan yang berjaya.
Pembiayaan Ar-Rahnu merupakan Kemudahan Pajak Gadai Islam jangka pendek yang memberikan kemudahan tunai secara segera kepada pelanggan menggunapakai barangan emas sebagai cagaran ke atas pembiayaan yang diberikan.
-NIAGATIMES