5 petua pilih lokasi perniagaan strategik

Tempat atau lokasi bagi sesebuah perniagaan cukup memberi pengaruh yang besar kepada usahawan. Hal ini disebabkan untung atau ruginya sesebuah perniagaan itu, juga berkait rapat dengan pemilihan lokasi. Lebih-lebih lagi jika perniagaan tersebut melibatkan kelompok pelanggan untuk keluar masuk. Berikut adalah lima petua bagi memilih lokasi perniagaan yang strategik:

  • SENANG NAMPAK

Mata kasar manusia jika melihat pada sesuatu, jarang sekali menipu. Pilihlah lokasi kedai yang tepat di kawasan orang awam lalu lalang dan senang untuk dilihat. Elakkan memilih di kawasan tersorok seperti lorong-lorong atau jalan yang kurang dilalui. Lebih bagus jika anda memilih hiasan yang mampu menjadi daya penarik seperti warna-warna ceria serta hiasan yang unik.

  • KADAR SEWA BERPATUTAN

Biasanya lokasi strategik pasti berkait rapat dengan jumlah kos sewa yang lebih mahal berbanding kedudukan kedai yang agak suram. Jika tidak mampu, buat usaha lebih sedikit dengan mengadakan tinjauan selama seminggu di lokasi kedai dengan kadar sewa lebih rendah. Teruskan sahaja jika ia masih memiliki potensi. Namun, jangan pula lokek untuk mengeluarkan lebih wang sekiranya benar-benar terdesak tiada pilihan.

  • PERSAINGAN

Jangan lupa juga untuk meninjau kedai-kedai berhampiran dengan lokasi perniagaan yang bakal anda dirikan. Elakkan memilih lokasi di mana ‘jiran-jiran’ kedai yang lain turut menjual produk yang sama dengan anda. Sebaik-baiknya, biarlah kedai anda mampu melengkapkan produk yang tiada di kedai-kedai berhampiran. Contohnya jika kedai yang lain menjual barang elektrik, anda pula sesuai menjalankan urus niaga perkakasan logam (hardware).

  • AKSES KELUAR MASUK

Faktor ini juga mampu mempengaruhi pelanggan untuk datang singgah ke sesebuah kedai. Pilih lokasi berdasarkan laluan yang mudah, tidak terlalu sibuk, ada kemudahan pengangkutan awam dan mempunyai tapak pakir yang banyak.

  • BERDEKATAN KELOMPOK SASARAN

Kenali dan kaji dahulu penduduk di kawasan berhampiran dengan lokasi perniagaan anda. Adalah lebih bagus sekiranya produk atau jenama yang ingin anda niagakan bersesuaian dengan kelompok berdekatan. Sebagai contoh jika anda mahu membuka kedai peralatan tulis atau buku, lebih sesuai jika berdekatan institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti. Begitulah juga dengan lain-lain yang menepati selera mereka.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.