5 petua untuk usahawan berdepan situasi Covid-19

0
102

Situasi semasa penularan wabak Coronavirus baharu (Covid-19) sangat membimbangkan semua pihak. Keadaan ini dilihat berterusan untuk satu tempoh masa panjang sehinggakan ia menjatuhkan ekonomi di seluruh dunia. Negara kita, Malaysia, khususnya juga tidak terkecuali menerima impak buruk akibat pandemik Covid-19 dengan golongan usahawan merupakan antara kelompok yang paling terkesan.

Usah terlalu risau! Panduan ini mungkin boleh anda manfaatkan. Jika anda seorang usahawan, boleh ikut dan praktikkan cadangan kami ini:

(1) MANFAATKAN PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI

Anda tidak langsung diabaikan mahupun dipinggirkan. Sedarlah bahawa pihak kerajaan telah mengaktifkan Pakej Rangsangan Ekonomi yang berupaya meletakkan situasi perniagaan anda dalam keadaan yang selamat. Semak semula strategi yang telah diumumkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada Februari lepas yang melibatkan perniagaan pelbagai golongan, sektor dan industri. Terdapat berbagai-bagai bentuk kemudahan dan bantuan akan diberikan. Bukan sahaja di peringkat persekutuan, malah beberapa negeri seperti Selangor, Johor dan Terengganu juga telah mengumumkan Pakej Rangsangan negeri masing-masing.

(2) MOHON MORATORIUM

Usahawan yang mempunyai komitmen bayaran dengan bank atau institusi kewangan, tidak perlu khuatir memikirkan beban komitmen bayaran yang perlu dijelaskan. Hal ini kerana terdapat banyak pihak telah sedia menawarkan moratorium, iaitu penangguhan bayaran disebabkan situasi semasa Covid-19 yang kian meruncing. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, contohnya telah mengarahkan agensi-agensi di bawahnya seperti Bank Rakyat, SME Bank, Suruhanjaya Koperasi dan TEKUN Nasional untuk mengaktifkan moratorium ini. Selain itu, terdapat juga penawaran daripada Maybank, Bank Islam, EXIM Bank, CIMB Bank, AmBank, AgroBank, RHB Bank dan lain-lain yang kebanyakannya bersedia menawarkan moratorium selama enam bulan.

(3) GUNA PLATFORM ‘ONLINE’

Situasi penularan Covid-19 juga menyaksikan banyak negara mengarahkan perintah berkurung. Kini, banyak masa dihabiskan masyarakat dengan berada di rumah. Anda usahawan, sepatutnya tukarkan persepsi negatif ‘bisnes rosak’ dengan memanfaatkan perniagaan secara dalam talian atau ‘online’. Kenapa pula tidak? Dengan bilangan pengguna internet di seluruh dunia yang tidak terhad, inilah peluang untuk anda memperkenalkan bisnes menggunakan kaedah yang lebih moden. Salah satunya, anda boleh sertai platform beli-belah ‘online’ seperti Alibaba, Shopee, Lazada dan lain untuk jalankan bisnes anda. Tidak lupa juga, anda boleh gunakan khidmat kurier dalam talian bagi memudahkan proses penghantaran produk bisnes anda. Cubalah!

(4) BUAT IKLAN DI MEDIA

Penggunaan media yang semakin kerap dalam situasi terkini juga adalah peluang terbaik untuk anda dapatkan khalayak sasaran yang lebih ramai. Kenapa tidak iklankan sahaja perniagaan anda di platform-platform media ini? Bilangan penonton, pendengar dan pembaca yang melonjak secara tidak langsung dapat memberi publisiti yang lebih tinggi kepada perniagaan anda. Justeru itu, jangan lokek untuk melabur bisnes anda melalui promosi pengiklanan ini. Inilah masa yang paling sesuai untuk syarikat anda, perniagaan anda diiklankan di platform seperti televisyen, radio dan media social.

(5) RANCANG STRATEGI BARU BISNES

Untuk tempoh-tempoh genting ini juga, sebenarnya merupakan peluang terbaik untuk anda bertenang dan mencari formula baharu bagi mengatur strategi menaikkan perniagaan anda. Tidak kiralah sama ada bisnes anda selama ini sudah bagus dan anda sedang berada di zon selesa, atau bisnes anda kini berada dalam situasi buruk, ini adalah masanya untuk anda merancang pelan naik taraf baru perniagaan anda. Tetapkan sasaran, pengurusan ‘cashflow’, pelaburan dan perkara yang anda mahu lakukan untuk bulan-bulan seterusnya. Jika perlu, anda boleh minta nasihat pakar, usahawan lain atau rakan sekerja anda.

Jangan mudah mengalah.
Anda semua usahawan hebat!

Usahawan-bisnes-Foto-hiasan.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.