9,512 unit kenderaan Kumpulan UMW laris pada Ogos 2021

Kumpulan UMW mencatatkan jualan automotif sebanyak 9,512 unit pada bulan Ogos 2021, jauh lebih tinggi daripada 2,105 unit yang didaftarkan pada bulan Julai 2021, dengan pembukaan semula operasi bilik pameran dan kilang pemasangan automotif bermula dari 16 Ogos 2021 berikutan pelonggaran terhadap sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP).

Syarikat itu berkata, UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu Perodua, mencatatkan jualan yang baik pada bulan Ogos walaupun hanya beroperasi selama setengah bulan.

“UMWT mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 2,524 unit pada bulan Ogos 2021, 74 peratus lebih tinggi berbanding 1,450 unit yang didaftarkan pada bulan Julai 2021.

“Toyota Vios, Yaris dan Hilux terus menjadi model terlaris UMWT, secara kumulatifnya menyumbang kepada 69 peratus daripada jumlah jualan bagi bulan Ogos 2021.

“Perodua mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 6,988 unit pada bulan Ogos 2021, jauh lebih tinggi berbanding 655 unit yang dicatatkan pada bulan Julai 2021.

“Permintaan bagi semua model Perodua terus menggalakkan, dengan jumlah tempahan ‘online’ yang memberangsangkan semasa tempoh PKPP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya menjangkakan momentum bagi penjualan automotif akan berterusan sehingga hujung tahun, terutamanya dengan pelanjutan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember 2021.

“Kami menghargai pelbagai langkah kerajaan dalam usaha menyokong sektor automotif yang dapat mempercepat kadar pemulihan.

“Kami juga ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pelanggan kami kerana terus menyokong produk dan perkhidmatan kami walaupun menghadapi pelbagai cabaran,” ujarnya.

-NIAGATIMES

GAMBAR-HIASAN-kredit-UMW.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.