Menjelang tempoh perbelanjaan yang lazimnya meningkat pada hujung tahun, pembukaan sesi persekolahan baharu serta beberapa perayaan berturut-turut tahun hadapan, AEON Bank (M) Berhad tampil dengan penyelesaian kewangan bagi membantu rakyat Malaysia mengurus aliran tunai dengan lebih terancang.
Bank digital Islamik pertama negara itu memperkenalkan Pembiayaan Peribadi-i (PF-i) sebagai alternatif pembiayaan patuh Syariah yang mudah diakses dan beretika, khusus untuk meringankan kekangan bajet pelanggan dalam tempoh Disember 2025 hingga Mac 2026, iaitu fasa yang sering menyaksikan komitmen kewangan bertindih.
PF-i ditawarkan sepenuhnya secara digital melalui aplikasi AEON Bank, sekali gus menghapuskan keperluan ke cawangan dan penggunaan dokumen fizikal.
Kemudahan ini menggunakan pendekatan Penetapan Harga Berasaskan Risiko (Risk-Based Pricing, RBP) yang membolehkan kadar keuntungan ditentukan secara kompetitif mengikut profil kewangan individu.
AEON Bank memaklumkan kemudahan tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia berusia antara 18 hingga 55 tahun dengan pendapatan kasar bulanan minimum RM2,500, termasuk pekerja bergaji, bekerja sendiri dan penggiat ekonomi gig.
Amaun pembiayaan yang ditawarkan bermula daripada RM1,000 sehingga RM100,000 dengan tempoh bayaran balik fleksibel antara tiga hingga 84 bulan, bergantung kepada kemampuan pelanggan.
Kadar keuntungan rata ditawarkan serendah 3.88 peratus setahun, selain fi Wakalah nominal RM1 yang dikenakan selepas penerimaan pembiayaan disahkan. Dana yang diluluskan akan dikreditkan terus ke Akaun Simpanan-i pelanggan, manakala bayaran balik dibuat secara automatik melalui potongan debit bulanan.
Proses permohonan bermula dengan pembukaan Akaun Simpanan-i sebagai prasyarat, diikuti semakan kelayakan dan pemilihan jumlah serta tempoh pembiayaan.
Pemohon perlu memuat naik dokumen sokongan seperti penyata KWSP enam bulan terkini bagi pekerja bergaji atau penyata bank bagi individu bekerja sendiri dan pekerja gig sebelum permohonan diproses.
Menurut AEON Bank, PF-i sesuai digunakan bagi pelbagai keperluan termasuk kecemasan kewangan, menampung perbelanjaan keluarga, pembaikan kenderaan, pengubahsuaian kecil kediaman atau menutup jurang aliran tunai sementara, selari dengan komitmen bank menyediakan perkhidmatan kewangan digital yang inklusif dan mampan.
-NIAGATIMES






















































