Agrobank menggalakkan pengusaha-pengusaha tempatan yang menceburi bidang keusahawanan agro untuk turut terlibat dalam perniagaan berasaskan durian kerana banyak inisiatif telah diperuntukkan institusi bank berkenaan dalam meningkatkan potensi produktiviti bagi produk dan perkhidmatan tani mereka.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pihaknya telah menyediakan peruntukan sebanyak RM90 juta daripada RM1.2 bilion khusus kepada agropreneur durian yang berupaya meluaskan perniagaan masing-masing ke tahap lebih baik.

“Sejak tahun 2004 hingga Ogos tahun ini, seramai 339 agropreneur berasaskan durian mendapat pembiayaan daripada Agrobank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM90 juta bagi industri durian sahaja…

“Kami berharap agar agropreneur akan menggunakan kesempatan ini untuk mengembangkan perniagaan berasaskan durian mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya sewaktu berucap pada majlis perasmian Festival Durian Agrobank 2019 di Perkarangan Menara Agrobank Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Khadijah, Agrobank turut menawarkan perkhidmatan Hartani-i yang merupakan bantuan pembiayaan membeli tanah bagi tanaman durian untuk membolehkan agropreneur terlibat membeli tanah pertanian yang akan diusahakan.

Festival-Durian-Agrobank-2019-Kredit-foto-Agrobank.JPG