Agrobank telah mengumumkan bulan Jun sebagai Bulan PKS Agrobank 2020. Inisiatif ini bertujuan untuk mengetengahkan kepentingan dan sumbangan besar komuniti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya pengusaha dalam bidang perniagaan agro kepada sumber pendapatan, masyarakat dan ekonomi.
Pelancaran ini diadakan bersempena dengan Hari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Antarabangsa seperti yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 27 Jun setiap tahun.
Penanggung Tugas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, sumbangan PKS sebagai tulang belakang terhadap pembangunan ekonomi di Malaysia perlu dihargai dengan mencontohi keupayaan mereka menangani perubahan landskap perniagaan.
โPandemik Covid-19 menjadikan kita lebih menghargai bekalan makanan dan memberi perhatian akan pentingnya jaminan keselamatan makanan.
โInisiatif ini juga memberi peluang kepada masyarakat luar untuk mengetahui dengan lebih baik bagaimana pelanggan PKS kami dalam rantaian bekalan makanan menghadapi lanskap perniagaan normal baru,โ katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Program ini akan berjalan sepanjang bulan Jun dan akan menjadi platform kepada pihak bank untuk lebih memahami keperluan pelanggan PKS sekaligus menyokong pengembangan perniagaan mereka secara berterusan.
Sepanjang bulan ini, Agrobank akan menyoroti kejayaan perniagaan agro PKS yang berjaya. Video PKS dalam perniagaan agro berdepan perubahan sepanjang tempoh Covid-19, sesi bimbingan usahawan, forum dan promosi produk yang berkaitan dengan PKS turut akan dijalankan.
Tambah Khadijah, walaupun Bulan PKS hanya berlangsung untuk tempoh satu bulan, usaha dan inisiatif berterusan akan dilakukan sepanjang tahun bagi memastikan pelanggan PKS mereka beroleh manfaat daripada pelbagai program, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Agrobank pada bila-bila masa.