Agrobank optimis dana DPAKM antara solusi jaminan keselamatan makanan negara

Agrobank menyambut baik mandat kerajaan untuk menyokong sektor pertanian dan industri makanan negara bagi memperkasa sektor pengeluaran makanan menerusi Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) yang diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, baru-baru ini.

Mesyuarat Kabinet pada 22 Jun 2022 telah bersetuju dengan pelaksanaan program DPAKM di bawah Agrobank yang telah memperuntukkan sebanyak RM800 juta pembiayaan bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan negara yang melibatkan lapan komoditi makanan utama iaitu daging ayam, daging lembu dan kerbau, telur, susu segar, ikan, buah, sayur dan beras.

Program DPAKM menawarkan kemudahan pembiayaan yang khusus mengikut agihan pembiayaan di mana RM300 juta diperuntukkan bagi ternakan ayam, RM200 juta bagi ternakan ruminan (lembu dan kambing), RM100 juta untuk tanaman sayur-sayuran.

DPAKM turut menawarkan pembiayaan untuk golongan usahawan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi usahawan mikro, manakala usahawan mikro baharu dan usahawan muda masing-masing menerima agihan pembiayaan sebanyak RM50 juta.

Mengulas mengenai pengumuman itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program DPAKM adalah kemudahan pembiayaan yang ditawarkan kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan jumlah pembiayaan sehingga RM5 juta bagi pengusaha ternakan ayam, ruminan dan sayuran.

“Program ini menawarkan tempoh pembiayaan yang kompetitif sehingga 8.5 tahun pada kadar keuntungan serendah 3 peratus.

“Pada enam bulan pertama, Agrobank akan memberikan moratorium secara automatik pada kadar keuntungan 0 peratus. Pelanggan akan mula dikenakan kadar keuntungan serendah 3 peratus hanya pada bulan ketujuh pembiayaan dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Tambahnya, Agrobank yakin peruntukan dana menerusi program DPAKM yang diagihkan mengikut keperluan industri makanan utama mampu memenuhi keperluan semasa dan secara beransur-ansur memperkukuhkan kedudukan sekuriti makanan negara.

-NIAGATIMES

GAMBAR-HIASAN-kredit-Pixabay.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.