Agrobank terus menawarkan bantuan kewangan kepada pelanggannya terutama pelanggan mikro dengan menawarkan bantuan pembayaran balik dan menerima permohonan sehingga Jun 2021.
Agrobank dalam satu kenyataan berkata, inisiatif bantuan pembayaran balik bersasar ini adalah sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2021 baru-baru ini oleh Menteri Kewangan mengenai penguatkuasaan Bantuan Pembayaran Sasaran untuk pelanggan B40, M40 dan PKS.
“Untuk memenuhi syarat bagi mendapatkan bantuan pembayaran bersasar ini, individu B40 mesti berdaftarkan di bawah program bantuan tunai, Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
“Sementara individu M40 mesti berdaftar di bawah BPR manakala bagi perusahaan mikro, mereka mestilah syarikat yang mempunyai kemudahan pembiayaan yang diluluskan hingga RM150,000 seperti yang ditetapkan oleh SME Corp Malaysia.
“Di bawah inisiatif ini, kumpulan ini boleh mendapat penangguhan ansuran bulanan sehingga tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan hingga 50 peratus untuk tempoh selama enam bulan,” katanya, baru-baru ini.
Sementara itu, Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pertanian terus menjadi komponen ekonomi yang sangat penting bagi negara dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.7 bilion untuk memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan.
“Sebahagian besar peruntukan yang diumumkan untuk industri pertanian dan makanan mengfokuskan kepada pemulihan perniagaan komuniti agro terutamanya mereka yang dikategorikan di bawah B40 dan PKS.
“Oleh itu, kami mengalu-alukan para pelanggan kami untuk datang ke mana-mana cawangan Agrobank di seluruh negara, mengadakan perbincangan secara bersemuka untuk lebih memahami pilihan bantuan pembayaran yang ada, bagi membantu mereka melalui tempoh pemulihan Covid-19 ini,” ujarnya.
-NIAGATIMES