Agrobank perluas program biaya, bantu 12 agropreneur mikro

0
35

Agrobank komited memperluaskan program pembiayaan institusinya dengan membantu 12 agropreneur dalam sektor tanaman nanas memulakan perniagaan melalui insentif berjumlah RM600,000.

Setiap agropreneur menerima pembiayaan berjumlah RM50,000 daripada Penanggung Tugas Presiden Agrobank, Khadijah Iskandar di dalam sebuah majlis di Mersing, Johor yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri Salahuddin Ayub, baru-baru ini.

Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Agrobank untuk memperkasakan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam komuniti pertanian di samping menyokong agenda Kemakmuran Bersama negara.

Menurut Salahuddin Ayub, kolaborasi strategik di antara Agrobank, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia dan Syarikat Kulim akan membuka peluang dan menggalakkan penyertaan golongan belia dalam projek penanaman nanas.

“Ini selaras dengan hala tuju baharu MOA ‘Prioriti & Strategi 2019-2020’ terutamanya dalam menggalakkan penglibatan pihak swasta untuk merancakkan industri agro makanan negara,” katanya.

Tambah beliau, MOA komited untuk memberi peluang kepada golongan muda yang mempunyai minat untuk menceburi bidang pertanian terutamanya dalam sektor penanaman nanas yang menjanjikan pulangan lumayan.

”Kita berharap program sebegini dapat menarik lebih ramai golongan belia daripada kumpulan B40 untuk terlibat dalam sektor pertanian dan sekaligus meningkatkan taraf hidup mereka,” jelasnya.

Agrobank-agropreneur.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.