Agrobank menyambut baik inisiatif yang diambil oleh kerajaan mengenai lanjutan tempoh moratorium pembiayaan bank akan diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pemotongan gaji pada tahun ini untuk membolehkan rakyat Malaysia menghadapi situasi ekonomi yang timbul akibat wabak Covid-19.
Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, institusinya berbesar hati melaksanakan langkah proaktif yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk membantu rakyat Malaysia yang masih mengalami kekangan kewangan dalam tempoh yang mencabar ini.
“Sebagai institusi kewangan yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan kepentingan masyarakat dan komuniti dalam industri pertanian, kami berharap ini dapat membantu pelanggan kami yang menghadapi masalah kewangan dan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada perkara lain yang lebih kritikal dalam kehidupan mereka,” katanya.
Tambah Khadijah, selain dari dua kumpulan sasaran ini, pelanggan lain yang terjejas juga dialu-alukan untuk menghubungi pegawai di cawangan atau pengurus perhubungan masing-masing untuk membincangkan kemungkinan penyelesaian bagi mengatasi cabaran kewangan yang mereka hadapi.
“Sekiranya situasi berlanjutan, pihak bank akan mempertimbangkan kemungkinan untuk menawarkan penyusunan dan penjadualan semula pembiayaan dan ini terbuka kepada kedua-dua pelanggan perniagaan dan PKS kami serta individu yang terkesan oleh situasi semasa dan ianya akan dinilai kes berdasarkan kes,” ujarnya.
Pelanggan boleh menghubungi pusat hubungan pelanggan bank di 1-300-88-2476 atau mengunjungi cawangan terdekat untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai bantuan yang ada.
-NIAGATIMES