Agrobank dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) memeterai perjanjian bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat bersaiz sederhana (MSC), untuk pulih dan membangun lebih kukuh dalam fasa pemulihan semasa di bawah Skim Jaminan Kerajaan Keluarga Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, skim pembiayaan itu dibuka kepada kumpulan sasaran yang lebih luas iaitu kumpulan PKS dan MSC di Malaysia yang mempunyai pendapatan tahunan tidak melebihi RM250 juta.
โSkim ini dibangunkan berikutan Pakej Bantuan PEMULIH yang diumumkan pada 28 Jun 2021 dengan peruntukan RM20 bilion Jaminan Kerajaan di bawah Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS).
โIa dibuka kepada usahawan yang memerlukan bantuan aliran tunai untuk pulih dan membangunkan semula perniagaan mereka dalam menghadapi fasa pemulihan ekonomi ekoran pandemik Covid-19 pada ketika ini.
โPKS dan MSC yang memerlukan bantuan, boleh memohon dan menggunapakai kemudahan pembiayaan ini untuk dijadikan modal kerja baharu atau tambahan dan dijadikan modal perbelanjaan untuk membeli peralatan bagi menambahbaik landskap perniagaan mereka,โ katanya pada majlis pemeteraian perjanjian skim tersebut di antara Agrobank dan SJPP yang berlangsung baru-baru ini.
Surat Tawaran itu, ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi dan Ketua Pegawai Operasi SJPP, Juanita Rusmini Abdul Jalil, disaksikan Tengku Ahmad Badli Shah dan Pegawai Utama SJPP, Chen Yin Heng serta delegasi pengurusan kanan Agrobank dan SJPP.
Kemudahan pembiayaan ini dibuka sehingga 31 Disember 2022 dan sangat bermanfaat bagi syarikat baharu dengan sekurang-kurangnya tempoh pengoperasian enam bulan sehingga kurang tiga tahun.
Jenis pembiayaan yang terpakai di bawah KMGGS bagi usahasama ini adalah Pembiayaan Berjangka-i, Agro Cash Line-i, Kemudahan Perdagangan-i dan Modal Kerja-i.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif ini, sila layari laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau hubungi perkhidmatan pelanggan di 1300-88-2476 atau kunjungi cawangan Agrobank.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai PGGS atau skim jaminan kerajaan yang lain pula, sila layari laman sesawang SJPP di www.sjpp.com.my.
-NIAGATIMES