Agrobank umum inisiatif kewangan bantu PKS

Agrobank mengumumkan beberapa langkah dalam membantu pelanggan-pelanggannya termasuk inisiatif Bank Negara Malaysia bagi mengurangkan beban kewangan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya secara proaktif akan menyediakan beberapa inisiatif dalam bentuk bantuan kewangan bagi memulihkan perniagaan PKS dengan salah satunya ialah penawaran moratorium selama enam bulan.

“Agrobank akan mengambil kira permintaan pelanggan yang terjejas untuk menjadualkan semula pembayaran balik pembiayaan sebagai langkah menyusun semula aliran tunai mereka,” katanya.

Selain itu, Khadijah turut memaklumkan bahawa terdapat Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang akan digunakan dalam bentuk modal kerja untuk membantu PKS terutamanya dalam sektor pertanian dan agromakanan menangani impak Covid-19.

“Melalui program ini, kami akan menyediakan kemudahan pembiayaan bebas cagaran sehingga RM1 juta bagi setiap PKS dengan kadar keuntungan yang kompetitif yang dihadkan pada 3.75 peratus setahun. PKS yang layak boleh mendapatkan kemudahan pembiayaan ini dengan Agrobank untuk tempoh sehingga 5.5 tahun, termasuk tempoh penangguhan bayaran selama enam bulan,” ujarnya.

Tambah Khadijah, Sokongan Lain Di Bawah Pakej Rangsangan 2020 seperti Kemudahan Agrofood (AF) berjumlah RM1 bilion serta Kemudahan Automasi dan Digitalisasi SME (ADF) bernilai RM300 juta juga akan diaktifkan sebagai sokongan kepada PKS.

“Kami terus memantau perkembangan Covid-19 dan sentiasa bersedia untuk menyokong para pelanggan Agrobank dengan menawarkan penyelesaian kewangan yang terbaik terutama pada masa sukar ini.

“Pegawai kami yang berurusan secara langsung dengan para pelanggan dilatih untuk mengenal pasti, membantu dan memberikan mereka sokongan kewangan yang tepat untuk memenuhi keperluan perniagaan mereka yang unik,” katanya.

Pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan Agrobank di talian 1-300-88-2476 atau kunjungi mana-mana cawangan terdekat.

Agrobank-Foto-NiagaTimes.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.