Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mendapat pengiktirafan sebagai Institusi Kewangan Mikro Terbaik dalam Malaysia. Pada masa yang sama, Pengarah Urusannya, Mohamed Shamir Abdul Aziz juga dijulang sebagai penerima Anugerah Ikon Kepimpinan Nasional 2024 untuk Kewangan Mikro.
Pengiktirafan oleh portal media pilihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia, NiagaTimes tersebut diberikan berdasarkan kecemerlangan Shamir dan pasukan AIM untuk memperkasakan usahawan mikro di seluruh negara selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi serta agenda Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat.
Menteri KUSKOP, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, kementeriannya berbangga apabila melihat AIM menerima anugerah yang merupakan satu pengiktirafan kepada usaha dan gerak kerja KUSKOP untuk memperkasakan usahawan dari pelbagai aspek dengan memberikan latihan bimbingan keusahawanan yang bersesuaian dan bantuan pembiayaan perniagaan.
“Pada tahun lepas, AIM telah menyalurkan dana pinjaman yang besar iaitu sejumlah RM2.6 bilion kepada seramai 320,000 usahawan yang merupakan Sahabat AIM. Tambahan lagi melalui inisiatif yang saya umumkan iaitu ‘Prosperity, Empowerment and a New Normal’ (PENN) dengan dana tambahan sebanyak RM50 juta khas untuk sahabat usahawan wanita kaum India.
“Saya lihat PMKS di negara ini adalah tulang belakang kepada ekonomi negara dan segala usaha mereka untuk menggembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.
“Setiap usahawan yang berasal dari pelbagai latar belakang yang berbeza namun atas usaha yang berterusan dan kegigihan serta tidak mudah putus asa telah membuahkan kejayaan. Tiada jalan yang mudah tetapi kejayaan yang dikecapi adalah berbaloi dari setiap titik peluh usahawan tersebut,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2024 di Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur, semalam.
Pada masa yang sama, Ramanan turut bersetuju dengan ucapan Shamir yang menganggap setiap usahawan adalah ikon kepada usahawan lain yang sedang berusaha membawa perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi.
-NIAGATIMES