Airbus mengukuhkan komitmennya terhadap keselamatan penerbangan dengan pengembangan Akademi Latihan Airbus Helicopters di Malaysia, serta penambahan simulator penerbangan penuh (Full-Flight Simulator, FFS) ketiga di Subang, Malaysia.
Simulator ini dijangka beroperasi pada separuh kedua tahun 2026, dan merupakan pelaburan penting yang menyokong keperluan latihan yang semakin meningkat di rantau ini, sekaligus memperlihatkan komitmen Airbus terhadap hubungan rapat dengan pelanggan.
Simulator H175 baharu ini – yang pertama seumpamanya di luar Eropah – akan melengkapi simulator H225 dan AS365 sedia ada, serta menawarkan pengalaman pembelajaran canggih menerusi bilik darjah digital dan jurulatih maya.
Kemudahan tambahan ini akan menyokong latihan jenis pesawat (type rating), latihan berulang (recurrent training), dan latihan misi, bagi memastikan kecekapan operasi dalam senario penerbangan kritikal.
“Pelaburan terbaharu ini menegaskan dedikasi kami terhadap keselamatan penerbangan dan hubungan rapat dengan pelanggan. Dengan memperluas keupayaan latihan kami di Malaysia, kami memastikan juruterbang dan juruteknik di Asia-Pasifik mempunyai akses kepada kemudahan bertaraf dunia yang direka untuk meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan,” kata Romain Trapp, Naib Presiden Eksekutif Sokongan Pelanggan dan Perkhidmatan, Airbus Helicopters.
Setakat ini, pusat simulator Airbus Helicopters di Malaysia telah menyediakan lebih daripada 21,000 jam latihan kepada kira-kira 2,600 juruterbang. Dengan penambahan simulator H175 FFS ini, Airbus Helicopters berpotensi meningkatkan kapasiti dan terus menyumbang kepada keselamatan penerbangan di rantau ini.
Pusat latihan yang diperluaskan ini akan menawarkan teknologi simulasi terkini, termasuk keupayaan latihan Tahap D (Level D), sistem avionik Helionix terkini, dan pakej data OEM yang memastikan peniruan prestasi helikopter yang tepat, semuanya bertujuan untuk meningkatkan kecekapan juruterbang dan keselamatan operasi.
-NIAGATIMES





















































