AJ perancang perkahwinan serba boleh

“Perkahwinan yang bercirikan cantik dan eksklusif merupakan impian setiap pengantin. Setiap keperluan perkahwinan yang melibatkan hantaran, busana, pelamin, tata rias, katering dan cenderamata untuk tetamu perlu dititikberatkan sebaik-baiknya bagi melancarkan sesebuah majlis impian. Maka atas inisiatif itulah, peranan kami di AJ Blingstar sebagai perancang perkahwinan atau ‘wedding planner’ memberikan yang terbaik demi merealisasikan segala impian bakal raja sehari,” jelas Mohd Aziz Zakaria.

Beliau yang lebih dikenali sebagai AJ telah membuka Butik AJ Blingstar pada tahun 2011 di Ampang, Kuala Lumpur. Sesuai dengan misi syarikat yang mahu menyediakan perkhidmatan perkahwinan efisyen dan efektif kepada semua pelanggan, Butik AJ Blingstar sentiasa menawarkan harga yang bersesuaian dengan kehendak dan bajet para pengantin.

Malahan khusus untuk pelanggan yang mendapatkan khidmatnya, AJ menawarkan keistimewaan perkhidmatan di bawah satu pengurusan termasuklah rekaan busana bermula dari majlis nikah dan persandingan, pelamin, hiasan dewan katering, jurufoto, jurusolek, juruacara majlis, sistem siar raya serta persembahan. Dari pakej bajet sehingga ke pakej eksklusif, bakal pengantin dijanjikan kepuasan dengan hasil magis yang dihasilkan Butik AJ Blingstar.

Pengarah Urusan AJ Blingstar, Mohd Aziz Zakaria

“Selama beroperasi, kami telah menghasilkan lebih 700 pelamin dan butik kami memiliki koleksi lebih 300 pasang baju. Butik ini dikenali melalui ekspo-ekspo perkahwinan. Pelbagai pilihan busana seperti songket tradisional, ‘ball gown’, ‘sheath dress’, ‘mermaid dress’, ‘a-line dress’, ‘trumpt dress’ dan rekaan-rekaan lain mengikut kehendak pelanggan. Istimewa untuk pelanggan yang inginkan rekaan eksklusif pula, kami juga menghasilkan pakaian ‘ready-to-wear’ AJ Blingstar Luxurious dan AJ Blingstar Textile pada tahun 2016,” katanya.

Sebaik sahaja tamat pengajian dengan kelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), AJ pada awalnya telah bekerja sebagai jurutera awam di beberapa buah syarikat konsultan. Beliau kemudiannya bertukar kerjaya sebagai guru sekolah. Pada masa yang sama, AJ turut memanfaatkan bakatnya yang mahir menyanyi dan menari tarian tradisional seperti zapin, inang, hadrah dan tarian tradisonal lain dengan bergiat aktif dalam bidang tarian sebagai penari Citrawarna bersama Tourism Malaysia. Beliau juga melebarkan sayap sebagai juruacara majlis dan penyanyi di majlis-majlis perkahwinan serta acara-acara korporat. Kefasihan AJ berturur dalam beberapa bahasa lain seperti Thailand, Kemboja, Kantonis, Mandarin dan Vietnam turut menjadikannya seorang juruacara majlis yang versatil.

Kini, Mohd Aziz meluaskan lagi empayar perniagaannya dengan menceburkan diri dalam bidang hartanah dan telah memiliki sebuah restoran yang berkonsepkan juadah Thailand Asli.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.