Menyelusuri kisah di sebalik tertubuhnya syarikat produk kosmetik yang semakin meningkat naik, Okaya Malaysia memiliki 1001 cerita pahit dan manis yang menarik untuk dikongsikan. Siapa sangka, kembara perjalanan untuk bergelar sebagai usahawan yang dilalui mereka bukanlah semudah yang disangka. Pengasasnya, Nur Akmar Shanudin, 36, tidak berasal daripada keluarga mewah. Dia juga tidak mewarisi bisnes ‘segera’ daripada rakan kongsi mahupun saudara-mara yang lain. Tetapi sebaliknya, jalan ke arah membina empayar perniagaan itu datang dari usahanya sendiri disusuli sokongan serta dorongan oleh suaminya, Mohamad Nazrun Omar, 38, yang turut merencana gerak atur kerja Okaya Malaysia.
Benarlah kata pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’. Meskipun hanya bermula sebagai sebagai pemborong dan pembekal pakaian secara kecil-kecilan bersama suaminya, itu tidak menjadi halangan buat Akmar untuk ligat mencari ilham dan idea cabang kerjaya ke bidang yang baharu.
“Idea untuk memulakan perniagaan di dalam bidang produk kosmetik ini sebenarnya datang secara spontan. Saya pada asalnya tertarik untuk memulakan konsep bisnes berasaskan kosmetik atas minat sendiri sejak sekian lama lagi. Cuma, waktu itu hasrat belum kesampaian dan saya anggap bukan kena pada masanya.
“Namun kemudian pada tahun 2016 itulah segala-galanya berubah. Keadaan ekonomi yang tidak menentu telah memaksa saya dan suami beralih arah mencuba sesuatu yang baru. Ketika itulah saya nekad memulakan perniagaan kosmetik. Mujurlah pengalaman kami sebagai peniaga sebelum ini juga sedikit sebanyak membantu. Bermodalkan wang simpanan sendiri sebanyak RM20,000 kami seterusnya berjaya lahirkan produk sendiri, Okaya Malaysia, yang masih utuh kekal hingga ke hari ini,” ujar ibu kepda lima beranak ini.
Tanpa berselindung, Akmar berkongsi saat kebangkitannya dan resipi kejayaan produk Okaya yang mendapat sambutan luar biasa daripada penggemar-penggemar produk kosmetik tempatan. Mana tidaknya, penangan jenama ini berjaya mencapai ratusan ribu pengguna dalam tempoh singkat meskipun baru sahaja beberapa bulan ditubuhkan pada waktu itu!
“Saya sangat mementingkan aspek kualiti terhadap produk-produk keluaran Okaya. Ini termasuklah dari sudut material, bahan, kebersihan, keselamatan, reka bentuk dan lain-lain lagi. Sebelum meluluskan sesuatu produk, kru kami akan meneliti keberkesanan produk itu terlebih dahulu. Bahkan, saya sendiri juga turut menguji produk kami sehingga benar-benar berpuas hati.
“Kami akan berunding terlebih dahulu dengan pihak pengeluar bagi memastikan mereka mematuhi piawaian standard produk yang kami mahukan. Hal ini penting kerana kami mahukan hasil akhir serta keberkesanannya nanti betul-betul berkualiti untuk dipakai pengguna,” katanya.
Namakan sahaja produk kosmetik bagaimana yang dimahukan pelanggan? Lipstik, gel kening, pensel kening, ‘lipmatte’, ‘cream to powder’, ‘perfect liquid foundation’ dan banyak lagi, kesemuanya cukup serba lengkap. Namun, sambutan hebat daripada masyarakat terhadap Okaya terutamanya di dalam platform jualan secara ‘online’ tidak sesekali pernah melekakan Akmar. Dia sebaliknya mahu terus memperbaiki pengeluaran produk Okaya dari semasa ke semasa.
“Saya mahukan, Okaya sentiasa diingat sebagai satu jenama yang menjadi sebutan. Ibarat ingat mekap, ingat Okaya. Untuk mencapai tahap itu, saya yakin usaha dan kerja keras perlu lebih dilipatgandakan. Sebab itulah saya tak mahu terlalu cepat berpuas hati. Satu hari nanti, kami sasarkan Okaya berjaya menembusi stor dan pasar raya besar di Malaysia. Kami juga akan mengorak langkah melebar sayap ke Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya mengakhiri perbualan.