Alif penaja minyak masak rasmi pertama Liga Malaysia

Jenama minyak masak tempatan, Alif mengumumkan kerjasamanya dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai penaja baharu Liga Malaysia untuk tahun 2022.

Pengarah Urusan Sime Darby Oils (SDO), Mohd Haris Mohd Arshad berkata, sokongan pihaknya terhadap sukan terbesar negara adalah wajar supaya kebaikan jenama Alif sebagai minyak masak yang dihasilkan secara mampan pertama di Malaysia dapat dikongsi dengan lebih ramai pengguna.

“Jenama Alif mewakili pelbagai ciri terbaik minyak sawit Malaysia yang dihasilkan secara mampan. Kami percaya, lebih ramai peminat bola sepak tempatan akan dapat menghargai kualiti produk minyak masak Alif, bukan sekadar para peminat wanita yang merupakan segmen pengguna utama kami.

“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Liga Bola Sepak Malaysia dan menemui penonton bola sepak Malaysia daripada pelbagai golongan,” katanya pada Majlis Perjanjian Tajaan Alif Bersama MFL, kelmarin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan serta Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.

Tambah Haris, SDO telah merancang pelbagai program dan aktiviti bercorak gaya hidup yang akan dilaksanakan di stadium dan juga pusat membeli-belah terpilih dengan kerjasama rakan-rakan niaga.

“Ini termasuklah aktiviti-aktiviti bersama personaliti bola sepak terkenal dan para peminat mereka di setiap negeri di seluruh negara.

“Kami berhasrat untuk menghangatkan lagi suasana kemeriahan acara sukan ini dengan pelbagai aktiviti yang akan mendekatkan lagi Alif dan bintang bola sepak Malaysia dengan para peminat bola sepak tanahair,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Alif turut memperkenalkan produk terbaharunya yang diperkaya dengan vitamin D3 yang boleh didapati di semua pasaraya terkemuka tempatan mulai Mei 2022 dan dijual dalam pek botol 1 hingga 5 kilogram.

-NIAGATIMES

ALIF-x-MFL-Partnership.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.