Salah satu masalah utama yang dihadapi dalam bidang penjagaan kesihatan moden untuk wanita hamil dan bakal-bakal ibu pada masa ini adalah bagaimana mereka boleh mendapatkan perkhidmatan rawatan sebelum dan selepas bersalin yang terbaik.
Golongan tersebut sememangnya menghadapi pelbagai jenis cabaran sepanjang proses kehamilan dan kini terdapat peningkatan kesedaran untuk memberikan penjagaan terbaik kepada mereka ketika hamil, proses kelahiran dan penjagaan selepas bersalin – terutama untuk ibu dan juga bayi yang baru lahir.
Bercita-cita menjadi pusat sehenti untuk penjagaan antenatal, Alunan Wellness (Alunan) hari ini mengumumkan perkhidmatan perawatan sebelum dan selepas bersalin yang disediakan melalui aplikasi inovatif teknologi mudah alih bagi perkhidmatan penjagaan wanita hamil sebelum dan selepas kelahiran dengan hanya menekan satu klik butang.
Perkhidmatan penjagaan Alunan tersebut boleh diperoleh melalui proses tempahan hujung-ke-hujung yang lancar menggunakan aplikasi mudah alih pemenang anugerah dikenali sebagai SENTUH Mobile App.
Ia dibangunkan sebagai produk hibrid yang menggabungkan perkhidmatan fizikal dan digital atau gabungan perkhidmatan maya serta merasai pengalaman sendiri oleh pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Alunan Wellness, Ain Nadia Yusoff berkata, pihaknya memberi fokus pada perawatan antenatal yang berasaskan bukti moden dan menjauhkan diri dari kaedah penjagaan tradisional.
“Adalah menjadi visi kami untuk menyediakan perkhidmatan yang dapat diterima oleh orang ramai tanpa mengira latar belakang budaya atau agama. Wanita hamil dan ibu baharu sememangnya telah menghadapi cabaran besar dalam tempoh sembilan bulan kehamilan dan juga selepas bersalin yang seharusnya diberi perhatian,” katanya.
-NIAGATIMES