AmBank BizRACE tawar hadiah bernilai RM2 juta kepada usahawan

AMMB Holdings Berhad (AmBank Group) kembali mengadakan cabaran perniagaan AmBank BizRACE dengan tawaran pelbagai hadiah bernilai RM2 juta menanti usahawan yang menyertai siri program tersebut untuk musim kedua.

Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank Group, Christopher Yap Huey Wen berkata, banknya telah memulakan cabaran keusahawanan BizRACE dengan hasrat untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkatkan skala perniagaan dan kemahiran yang melangkaui akses kewangan.

“Jumlah penyertaan dan bilangan data yang dikumpulan pada musim pertama telah membuktikan BizRACE berada di landasan yang tepat untuk membantu PKS. Jika pada musim lepas kita dapat 1,000 penyertaan, kali ini saya sasarkan peningkatan dengan seramai 1,500 akan mengambil bahagian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan AmBank BizCONFERENCE di Nexus Bangsar South, baru-baru ini.

Usahawan yang mempunyai perniagaan lebih setahun, pendapatan tahunan kurang daripada RM100 juta dan mencari cara mengembangkan perniagaan layak menyertai cabaran ini. Seramai 100 peserta teratas akan dipilih berdasarkan pelan pengembangan serta pertumbuhan masing-masing dan seterusnya akan dipelawa untuk menghadiri siri sesi menjual idea kepada panel juri berpengalaman.

Penyertaan BizRACE dibuka sehingga 24 Disember ini dan mana-mana usahawan yang berminat untuk mendaftar atau mendapatkan maklumat lanjut, boleh layari laman web ambankbizclub.com .

AmBank BizRACE musim kedua.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.