Menghangatkan lagi kerancakkan perkembangan industri francais Malaysia, Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan menganjurkan Anugerah Francais Malaysia kali ke-24 di Putrajaya.
Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, ia adalah platform untuk mengiktiraf penggiat industri francais yang telah berusaha gigih, mencatat kejayaan cemerlang, bersemangat dan berinovatif dalam mengusahakan perniagaan francais mereka semasa pasca pandemik ini.
“Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada perniagaan tempatan dan ramai usahawan yang masih lagi mengambil masa untuk memulihkan keadaan perniagaan mereka. Oleh yang demikian, kewujudan anugerah yang berprestij ini juga menjadi pemangkin semangat buat penggiat industri untuk bersungguh-sungguh dalam meneruskan perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Anugerah kategori Francais Terbaik pernah dimenangi oleh Marrybrown, Smart Reader Worldwide, Secret Recipe, Focus Point, Daily Fresh, The Manhattan Fish Market, dan Global Art sepanjang penganjurannya.
Dalam pada itu, Radzali juga menerangkan, bagi mengekalkan prestijnya, pemenang anugerah dipilih oleh panel penilai berkecuali yang terdiri daripada profesional dan pengamal akademik yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan industri francais.
Pada tahun ini, sebanyak 25 anugerah akan disampaikan pada Malam Anugerah Francais 2022 yang akan berlangsung pada 8 Disember 2022 di Hotel Marriott, Putrajaya. Majlis yang berprestij ini dijangkakan akan dihadiri oleh lebih 800 orang tetamu yang terdiri daripada penggiat francais.
-NIAGATIMES