Anggota ASEAN mengesahkan semula komitmen masing-masing untuk merapatkan jurang pembangunan dalam blok ekonomi ini bagi usaha mencapai kemakmuran bersama di samping mewujudkan masyarakat ekonomi yang inklusif.
Dalam kenyataan bersama sempena Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-51 di Bangkok, para menteri menyambut baik bantuan berterusan dari anggota ASEAN, rakan kerjasama dan pihak luar kepada Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam untuk meningkatkan kapasiti mereka dalam memenuhi komitmen serantau dan menggalakkan pembangunan inklusif.
Para menteri turut memuji kemajuan ekonomi yang dicatatkan keempat-empat anggota itu sejak 20 tahun lepas, seperti dinyatakan dalam laporan Penilaian Kemajuan bagi Mengurangkan Jurang Pembangunan di ASEAN oleh Sekretariat ASEAN dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia.
“Peningkatan mampan tahap pendapatan telah menyumbang kepada kemajuan besar yang dicapai keempat-empat anggota ini dalam bidang pembangunan sosial, khususnya dari segi pengurangan kemiskinan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, para menteri berkata pertumbuhan perdagangan dan pelaburan Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam yang memberangsangkan dengan perdagangan barangan keempat-empat mereka terus berada dalam aliran meningkat, bukan hanya dari segi nilai malah dalam peratusan jumlah perdagangan ASEAN. -BERNAMA