Bersempena dengan sebuah bengkel aplikasi data yang dianjurkan oleh Asia Open Data Partnership (AODP) pada Hari Data Terbuka 2021, sekretariat AODP terkini iaitu Persatuan Komputer Taipei mengumumkan pelancaran portal data terbuka rasmi yang pertama di Asia.
Organisasi itu berkata, Portal Data Terbuka Asia menawarkan satu titik tunggal bagi akses kepada data terbuka yang diterbitkan oleh institusi, agensi dan organisasi di sejumlah negara anggota Asia yang semakin meningkat, yang menandakan satu era baharu bagi pendemokrasian data merentasi Asia.
“Portal itu pada masa ini mempunyai lebih 73.1 ribu set data, disusun ke dalam 20 katalog dan 12 kategori, yang dapat membantu untuk menyelesaikan masalah seperti pencemaran di bandar raya dan pensumberan bagi PPE.
“Data dikumpulkan dari semakin banyak negara anggota AODP, termasuk Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia, Malaysia, Thailand dan India.
“Cabaran yang dihadapi oleh projek itu termasuk kepelbagaian bagi bahasa-bahasa Asia dan format data yang digunakan oleh sektor awam dan swasta negara-negara yang berbeza, yang mana AODP sedang mengatasinya dengan penggunaan mesin penterjemahan dan usaha diplomatik ke arah penyeragaman data,” katanya dalam satu kenyataan.
AODP telah diwujudkan pada tahun 2015 dengan matlamat utama untuk memudahkan komunikasi dan kerjasama pada data terbuka dan aplikasi data di antara negara-negara Asia.
Portal Data Terbuka Asia telah dimulakan oleh Organisasi bagi Aplikasi yang Dipacukan oleh Data (Taiwan) pada tahun 2017, yang dimodelkan pada Portal Data Terbuka EU, dan diluluskan secara rasmi oleh negara anggota AODP pada tahun 2019.
Matlamatnya adalah untuk meningkatkan pembangunan perindustrian Asia merentasi semua sektor dan teknologi baru muncul, seperti kecerdasan buatan (AI) dan internet pelbagai benda (loT).
-NIAGATIMES