Usahawan yang terdiri daripada kelompok Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mikro yang terkesan ketika tempoh pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diseru merebut peluang memohon bantuan kewangan melalui kerjasama antara SME Corp. Malaysia (SME Corp) dan Aspirasi.
SME Corp. dalam satu kenyataan berkata, kerjasama ini akan memanfaatkan perusahaan mikro di Malaysia melalui penyedia perkhidmatan kewangan digital di bawah Axiata Digital, Aspirasi yang menawarkan pembiayaan mikro patuh syariah Aspirasi Assist daripada RM1,000 hingga RM20,000.
“Inisiatif ini menawarkan terma-terma yang menguntungkan seperti penangguhan pembayaran selama enam bulan dan kadar keuntungan serendah 0.5 peratus serta pemohon yang diluluskan akan menerima dana dalam tempoh 48 jam.
“Aspirasi Assist juga menyediakan insurans mikro sebagai faedah tambahan untuk melindungi pemohon yang diluluskan pembiayaan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta bagi meningkatkan lagi akses kepada pembiayaan untuk usahawan dan perusahaan mikro.
“Saya menggesa semua usahawan dan koperasi terutamanya bagi mereka yang terkesan dengan Covid-19 dan PKP untuk memanfaatkan peluang bantuan kewangan ini yang kelak bukan sahaja dapat membantu pertumbuhan industri dan ekonomi tempatan, malah juga memulihkan perniagaan masing-masing,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian SME Corp dan Aspirasi di Platinum Sentral Kuala Lumpur, hari ini.
-NIAGATIMES