Atlas Vending, dengan kerjasama OKU Sentral melancarkan siri pertama mesin mudah akses di Malaysia hari ini bersama-sama dengan rakan usahama pelancarannya, KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare).
Dengan pelancaran tersebut, mesin mudah akses akan ditempatkan di beberapa hospital KPJ terpilih, Pusat Daya Klang dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi.
Mesin mudah akses yang dilancarkan sempena Hari Kerusi Roda Antarabangsa hari ini, berukuran lebih pendek untuk kemudahan pengguna kerusi roda dan orang kurang upaya (OKU) kerdil serta dipasang dengan bekas syiling yang lebih besar untuk mereka yang mempunyai kawalan motor terhad, selain dilengkapi dengan ciri pembayaran elektronik.
Senator dan pengasas bersama OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi berkata, pihaknya berbesar hati dengan rancangan perniagaan bernas yang ditunjukkan oleh Atlas Vending.
“Ini adalah salah satu contoh ‘woke corporatisation’ di mana organisasi sedar dan memikirkan cara-cara terbaik supaya masyarakat OKU tidak ketinggalan dalam model perniagaan dan ciptaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Perniagaan Sampingan ATLAS Vending, Amy Gan berkata, syarikatnya bercita-cita mempermudahkan kehidupan kepada golongan OKU dengan membolehkan mereka untuk mendapatkan akses dan menikmati pengalaman pembelian yang lebih baik.
“Selaras dengan tonggak tanggungjawab sosial kami untuk mewujudkan kemudahan kepada setiap golongan masyarakat dengan inovasi kami, kami akan terus menyokong sektor peruncitan dengan merapatkan jurang ketidakupayaan di Malaysia.
“Pada tahun lepas, kami bekerjasama dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk melancarkan 10 mesin layan diri Braille di stesen-stesen LRT berhampiran Brickfields, Lembah Klang,” ujarnya.
Menurut Ketua Pegawai Korporat KPJ Healthcare, Ariesza Noor, matlamat utama pihaknya selaku penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta pula adalah untuk membantu pesakit kembali kepada gaya hidup sihat dan berdikari.
“Kami percaya bahawa dengan meletakkan Mesin Mudah Akses ini di hospital-hospital kami yang terpilih, ia bukan sahaja membolehkan pembelian minuman untuk pesakit OKU lebih mudah, tetapi kami juga bergerak selangkah ke hadapan dalam perjalanan ke arah menggalakkan pesakit kembali ke kehidupan berdikari,” katanya.
-NIAGATIMES