AT&S mulakan pembuatan volum tinggi menerusi kilang baharu di Kulim

AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn Bhd kini bersedia untuk memulakan pembuatan volum tinggi di kampus baharu terletak di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah. AT&S Malaysia membekalkan Substrat Litar Bersepadu (IC) berkualiti tinggi untuk pemproses pusat data AMD dan pelanggan lain.

Kampus baharu di Kulim, yang terletak kira-kira 350 kilometer utara dari ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur, telah berjaya disiapkan dalam masa yang singkat.

“Kampus AT&S baharu dibina dalam jangka masa dua tahun sahaja. Setahun kemudian kami bersedia untuk memulakan pengeluaran volum tinggi”, kata Ingolf Schroeder, Naib Presiden Eksekutif Unit Bisnes Mikroelektronik di AT&S.

“Kejayaan ini mungkin merupakan satu rekod dunia baharu. Memulakan pengeluaran volum tinggi bukan sahaja satu kejayaan untuk AT&S tetapi juga satu langkah yang penting bagi Malaysia. Dengan memperkenalkan teknologi substrat IC yang canggih ke Kulim, kami akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan teknologi Malaysia dengan cara yang mampan,” tambahnya lagi.

Pengeluaran substrat AT&S untuk AMD di Kampus Kulim dijangka berkembang dengan kukuh berikutan dengan peningkatan permintaan untuk CPU dan GPU untuk pusat data, teknologi AI, VR dan AR. Dengan jangkaan peningkatan eksponen dalam jumlah data global, permintaan untuk penyimpanan, penghantaran dan analisis data kekal tinggi.

Sehingga kini, kira-kira RM 5 Bilion (1 Bilion EUR) telah dilaburkan dalam kilang dan bangunan pentadbiran untuk keseluruhan Kampus Kulim. Di kilang 1, AT&S menghasilkan substrat canggih untuk syarikat semikonduktor terkenal AMD. Keluasan kasar lantai sekitar 255,000 meter persegi, dilengkapi dengan kira-kira 500 mesin berteknologi tinggi.

-NIAGATIMES

ATS.jpg