Aveta tambah unit servis bergerak, tingkat kecekapan khidmat lepas jualan

Aveta Motor Malaysia terus memperkasa pengalaman pemilikan motosikal apabila memperluaskan rangkaian khidmat bantuan bergeraknya menerusi program ‘Aveta Care on Wheels’ di seluruh Semenanjung Malaysia.

Langkah itu bertujuan memastikan pelanggan menikmati akses lebih cepat, mudah dan diyakini terhadap perkhidmatan lepas jualan, sejajar dengan keperluan penunggang yang mahukan sokongan berterusan selepas pembelian.

Menerusi peluasan tersebut, syarikat itu mengintegrasikan pengedar Preferred Plus terpilih ke dalam rangkaian bantuan bergerak bagi mendekatkan perkhidmatan profesional kepada pengguna, sekali gus membantu mengurangkan tempoh motosikal tidak dapat digunakan serta meningkatkan keyakinan pemilik.

Dalam usaha mempertingkat kecekapan respons, Aveta kini mengoperasikan enam unit khidmat lepas jualan bergerak di Semenanjung Malaysia dengan sokongan rakan pengedar. Selain itu, perkhidmatan sokongan bergerak dan penyediaan motosikal ihsan turut ditawarkan oleh pengedar terlibat dalam kawasan liputan masing-masing.

Bagi kawasan utara, KW Keat Wei Motor menyediakan sokongan kepada penunggang di Kedah termasuk Alor Setar serta meliputi Perlis, manakala CKT Motor pula memberi perkhidmatan di Sungai Petani dan kawasan sekitar termasuk Pulau Pinang serta Perak. Di selatan, NG Brothers Motor menyokong pengguna di Johor Selatan melibatkan Simpang Renggam, Johor Bahru dan kawasan berhampiran.

Sementara itu, pasukan dalaman Aveta terus beroperasi di kawasan tengah, Melaka dan Pantai Timur, sekali gus melengkapkan liputan menyeluruh di seluruh Semenanjung.

Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motor Malaysia, Steven Lim berkata peluasan rangkaian tersebut dilaksanakan sepenuhnya demi memenuhi keperluan pelanggan.

“Pemilikan motosikal tidak terhenti selepas pembelian, sebaliknya bergantung kepada sokongan berterusan yang diterima oleh penunggang. Kerjasama dengan pengedar Preferred Plus membolehkan kami menyediakan perkhidmatan yang lebih responsif dan relevan,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk membina ekosistem pemilikan yang lebih kukuh, dengan memberi tumpuan kepada kebolehpercayaan serta kepuasan pelanggan.

Melalui gabungan kepakaran dalaman dan jaringan pengedar strategik, Aveta optimis dapat mempertingkat mutu perkhidmatan sekali gus menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih lancar kepada pengguna.

-NIAGATIMES

Aveta-Customer-Care.jpg