BABY TAHFIZ INSTITUTE LAHIR GENERASI GENIUS AL-QURAN

Pernahkah anda tonton video tular yang memaparkan anak-anak kecil berusia 1 hingga 5 tahun fasih membacakan ayat-ayat suci al-Quran? Kebanyakan video yang berasal dari luar negara seperti Arab Saudi, Algeria dan Rusia ini antaranya memperlihatkan keupayaan luar biasa kanak-kanak yang bukan sahaja mengalunkan bacaan al-Quran dengan baik, malah juga boleh menghafaznya! Kelebihan yang dimiliki ‘kanak-kanak ajaib’ tersebut sebenarnya diyakini para ilmuan dan saintis bahawa ia datang daripada bakat yang dimiliki mereka sejak dari dalam kandungan lagi. Di Malaysia sendiri, perkara inilah menjadi fokus utama yang mahu ditekankan oleh Baby Tahfiz Institute iaitu ke arah melahirkan generasi genius al-Quran.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh Baby Tahfiz Institute ini telah dicetuskan oleh Al Baghdadi Prenatal Education Program sejak 2014 melalui projek Waladun Soleh dengan matlamat utamanya ialah memberi pendidikan berasaskan al-Quran kepada golongan ibu hamil untuk bantu mereka memberikan stimulasi kepada anak di dalam kandungan masing-masing.

Menurut Azri Jemani, 49, institusinya kini bertungkus lumus menjalankan program berkenaan secara agresif kerana mahu mengubah stigma masyarakat yang kebiasaannya lebih cenderung dan peduli terhadap penjagaan kesihatan si ibu semata-mata tanpa menyedari zuriat yang dikandungkan itu sebenarnya turut perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Program Waladun Soleh dikhaskan untuk golongan ibu hamil belajar al-Quran

“Kalau kita lihat, seseorang hamil itu antara rutin yang sering dilakukan ialah pergi ke klinik, dapatkan kad merah. Di situlah perkembangan kehamilan mereka dipantau dari masa ke masa. Setiap ibu akan dipastikan tiada sebarang masalah kesihatan sehinggalah anak itu dilahirkan.

“Malangnya tidak menjadi fokus kepada ibu dalam tempoh sembilan bulan kehamilan itu untuk mendidik anak. Dalam erti kata lain, memberikan stimulasi kepada anak kerana dalam tempoh itu sebenarnya anak sudah boleh belajar.

“Sekiranya ibu diberi satu rangsangan atau satu bentuk program bersesuaian seperti mana yang kami praktikkan di sini, saat itulah sebenarnya pada masa yang sama si anak menjadi sebahagian daripada ibunya. Sewaktu keadaan ibu belajar, apa-apa sahaja yang ibu alami dalam tempoh itu, 100 peratus anaknya akan alami perkara yang sama.

“Saya nak tekankan perkara ini, betapa pentingnya pendidikan anak di peringkat ibu hamil kerana ia ibarat air bersih yang kita masukkan nila. Sebab itu ada perbidalan yang menyatakan bahawa rosak susu sebelanga disebabkan nila,” katanya.

Azri menjelaskan bahawa pendekatan yang dilaksanakan dalam sesi pembelajaran Waladun Soleh merangkumi pendidikan prenatal berasaskan al-Quran.

Justeru itu, setiap peserta program yang terdiri daripada golongan ibu hamil dapat mengikuti kelas secara inovatif, kreatif, seronok dan terkini yang secara tidak langsung mampu menarik minat mereka untuk mempelajari al-Quran serta memberi stimulasi kepada anak dalam kandungan berasaskan bunyi-bunyi asas al-Quran.

Ketua Pegawai Strategi dan Pemasaran Baby Tahfiz Institute, Master Azri Jemani

“Pelbagai teknik melibatkan pengajaran, teknik bacaan dan ritma ketukan dipraktikkan bagi memberi kesan yang terbaik untuk ibu hamil menguasai asas bacaan al-Quran dengan kesan stimulasi bunyi asas al-Quran terhadap janin dalam kandungan masing-masing,” jelasnya.

Usaha murni Baby Tahfiz Institute tidak hanya terhenti di situ. Sebagai tambahan, buah tangan terbaharu mereka, aplikasi Baby Tahfiz berjaya dibangunkan dan telah selamat dilancarkan sejak Oktober lepas. Pengenalan kepada aplikasi yang diwujudkan di platform Google Play Store dan laman web ini adalah kesinambungan kepada program Waladun Soleh dalam membantu proses pembelajaran al-Quran secara lebih santai dan sistematik.

Aplikasi Baby Tahfiz mengandungi bacaan audio azan dan ayat-ayat al-Quran yang telah disusun mengikut tahap-tahap tertentu yang perlu diperdengarkan dan diamalkan oleh si ibu kepada anaknya baik ketika dalam kandungan ataupun yang telah melahirkan. Setiap audio al-Quran yang dilampirkan menurut Azri terdiri daripada bacaan guru yang sanad, memang memiliki bacaan al-Quran yang terbaik serta memiliki sanad daripada guru al-Quran yang hebat.

“Kita telah membentuk kaedah bahawa dengan aplikasi Baby Tahfiz ini, ia lebih memudahkan pelaksanaan dan tidak membebankan kepada mana-mana ibu yang terlibat dalam program Waladun Soleh ini.

“Insya-Allah, aplikasi ini akan kita perluaskan bukan sahaja dari aspek penggunaan, malah dari segi fungsi serta bahan-bahan yang terkandung di dalamnya akan dipertingkatkan dari masa ke masa,” ujarnya.

Baby Tahfiz Institute turut mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dalam misi membudayakan pendidikan prenatal berasaskan al-Quran

Untuk maklumat lanjut mengenai aplikasi Baby Tahfiz, boleh hubungi talian ‘hotline’ 019-2245747 atau layari laman web babytahfiz.com. Bagi sebarang perkembangan Baby Tahfiz Institute pula, boleh dibuat dengan merujuk carian nama ‘Baby Tahfiz Institute’ di laman Facebook.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.