Bajet 2027: RM2.8 bilion disalur melalui SME Bank sokong pertumbuhan PKS

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) menerima mandat kira-kira RM2.8 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif strategik di bawah Belanjawan Negara 2027 untuk meningkatkan daya saing perusahaan tempatan.

Bank itu, yang merupakan anak syarikat Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), akan menyalurkan pembiayaan dan geran merangkumi tujuh sektor utama, termasuk pembangunan usahawan, pelancongan, kelestarian, teknologi, pengangkutan, logistik serta pengembangan pasaran eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Samad Majid Zain berkata peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada mandat melebihi RM7 bilion yang diberikan kerajaan kepada Kumpulan BPMB.

Beliau berkata inisiatif itu sejajar dengan usaha meningkatkan produktiviti, mempercepat penerimagunaan teknologi dan menggalakkan amalan perniagaan mampan bagi membina ekonomi yang lebih berdaya saing dan inklusif.

Daripada jumlah berkenaan, RM558 juta diperuntukkan bagi pembangunan keusahawanan, termasuk RM300 juta untuk pembangunan ekonomi Bumiputera, RM100 juta menerusi program MySMELady 3.0 dan RM150 juta bagi pembangunan ekosistem francais serta pelesenan.

Sementara itu, sektor pelancongan menerima RM500 juta, manakala RM600 juta disediakan menerusi Dana Kelestarian Alam 2.0 bagi membantu syarikat melaksanakan inisiatif rendah karbon dan memperkukuh operasi mampan.

Sebanyak RM500 juta lagi disalurkan melalui Dana Penerimagunaan Teknologi untuk menyokong pendigitalan, penerapan teknologi Industri 4.0 dan peningkatan produktiviti, termasuk dalam sektor pembuatan serta sistem binaan berindustri.

Bagi memperkukuh kapasiti pengangkutan, logistik dan aeroangkasa, sejumlah RM400 juta diperuntukkan, masing-masing RM200 juta untuk program pengangkutan dan logistik serta program aeroangkasa.

Selain itu, Program Pecutan dan Pertumbuhan Tempatan menerima RM200 juta bagi membantu pengilang, penyedia perkhidmatan dan vendor tempatan meningkatkan kapasiti serta penyertaan dalam rantaian bekalan syarikat multinasional dan sektor strategik.

SME Bank turut menyediakan geran RM3 juta menerusi Program Eksport Perniagaan bagi meningkatkan kesediaan eksport serta akses pasaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera.

Samad berkata SME Bank akan memanfaatkan keupayaan kumpulan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif memberikan impak pembangunan yang boleh diukur, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh daya tahan komuniti perniagaan.

Usaha itu turut menyokong agenda pembangunan keusahawanan negara serta aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13.

-NIAGATIMES

Menara-SME-Bank-1-1.jpg