Bank Islam turunkan kadar asas dan kadar pembiayaan asas

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyemak semula kadar asas (BR) sebanyak 25 mata asas, iaitu daripada 2.77 peratus kepada 2.52 peratus, sementara kadar pembiayaan asas (BFR) disemak semula daripada 5.72 peratus kepada 5.47 peratus.

Pada masa yang sama, kadar deposit juga akan diselaraskan ke bawah sebanyak 25 mata asas. Semua perubahan kadar yang telah berkuat kuasa 10 Julai baru-baru ini adalah sejajar dengan langkah penurunan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia iaitu daripada 2 peratus kepada 1.75 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, semakan semula kadar tersebut adalah tepat pada masanya memandangkan tempoh moratorium akan berakhir.

“Kami menjangkakan langkah ini akan mengurangkan kesan pasca moratorium yang dialami sebahagian besar pelanggan kami, iaitu dengan meringankan komitmen bayaran ansuran bulanan mereka.

“Bank Islam sentiasa memberi penekanan dalam memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi perhatian, terutamanya dalam mengharungi persekitaran semasa yang mencabar.

“Bank ini juga menyediakan khidmat rundingan berkenaan pengaturan pembayaran pembiayaan kepada pelanggan yang terjejas teruk oleh wabak Covid-19,” katanya.

Tambah Muazzam, pihaknya komited untuk terus menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan yang memenuhi kehendak dan jangkaan pelanggan.

“Bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik, Bank Islam akan terus mendukung prinsip kemampanan perniagaannya dengan memanfaatkan kemajuan teknologi dan inovasi,” ujarnya.

Bank-Islam-Kredit-foto-BIMB.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.