Bank Negara buka perbincangan umum mengenai tokenisasi perkhidmatan kewangan

Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah proaktif dalam meneroka penggunaan tokenisasi atau pengewangan token dalam sektor kewangan negara, dengan menekankan pendekatan kolaboratif untuk membina pelan hala tuju yang selamat dan mampan bagi pembangunan perkhidmatan kewangan bertoken.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, bank pusat itu memaklumkan bahawa kertas perbincangan mengenai tokenisasi aset dalam sektor kewangan turut bertujuan mendapatkan maklum balas awam. Maklum balas ini dijangka membantu BNM dalam merangka pendekatan pengawalseliaan dan pembangunan berhubung tokenisasi aset.

BNM menjemput maklum balas bertulis daripada orang awam, industri kewangan, dan pihak berkepentingan lain berkaitan tema utama yang digariskan dalam kertas perbincangan tersebut. Maklum balas yang diserahkan boleh merangkumi cadangan mengenai isu khusus, bidang yang memerlukan penjelasan lanjut serta alternatif yang wajar dipertimbangkan.

“Bagi memudahcara semakan secara berkesan, maklum balas ini harus disertakan dengan alasan jelas, bukti relevan dan/atau contoh yang bersesuaian. Semua maklum balas perlu dikemukakan menerusi e-mel kepada tokenisation@bnm.gov.my
selewat-lewatnya pada 1 Mac, 2026,” menurut kenyataan itu.

BNM menyatakan, kertas perbincangan ini merupakan langkah awal dalam usaha bersama membangunkan perkhidmatan kewangan bertoken yang selamat dan mampan di Malaysia, selaras dengan aspirasi bank pusat untuk menggalakkan inovasi sambil mengekalkan integriti sistem kewangan.

-NIAGATIMES

Octa-BNM-image_1.jpeg