Perkhidmatan pelancongan bandar terkenal, KL Hop-On Hop-Off, kini diberi nafas baharu dengan penjenamaan semula sebagai Ronda-Ronda Kuala Lumpur, sebagai sebahagian usaha menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pelancaran perkhidmatan itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, yang turut menyaksikan pelepasan enam unit bas dua tingkat terbuka sepenuhnya yang direka khas untuk memberikan pengalaman pelancongan bandar lebih moden dan mesra alam.
Ketua Pegawai Eksekutif Elang Wah Sdn Bhd, Syed Azhar Syed Nadzir berkata, penggunaan nama baharu itu menonjolkan identiti tempatan dan semangat mesra rakyat, seiring matlamat memperkukuh imej Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan kelas dunia.
“Ronda-Ronda Kuala Lumpur mencerminkan gaya hidup masyarakat bandar yang ramah dan terbuka. Kami mahu setiap pengunjung, sama ada warga tempatan atau antarabangsa, menikmati keindahan kota ini dengan cara yang lebih santai,” katanya.
Sebanyak enam bas baharu bernilai RM10 juta dibina menggunakan model MAN Euro 6, dengan teknologi hijau berpiawaian pelepasan karbon tertinggi di Eropah.
Bas berkenaan dilengkapi kemudahan canggih termasuk sistem komentar automatik berkuasa AI dalam lebih 20 bahasa, Wi-Fi berkelajuan tinggi, kamera keselamatan berdefinisi tinggi, dan tempat duduk ergonomik bagi keselesaan penumpang.
Inisiatif itu merupakan hasil kerjasama DBKL, Tourism Malaysia dan Elang Wah Sdn Bhd, sejajar dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar pintar, bersih dan mampan, serta menyokong sasaran nasional menarik 46 juta pelancong ke Malaysia menjelang 2026.
“Ronda-Ronda Kuala Lumpur bukan sekadar pengangkutan, tetapi simbol kebanggaan ibu kota dan semangat hospitaliti Malaysia,” tambah Syed Azhar.
-NIAGATIMES






















































