Pembuatan basikal menjadi industri terkemuka di Taiwan sehingga negara berkenaan digelar ‘Dunia Basikal’ dengan catatan hampir 70 peratus bagi permintaan basikal kelas pertengahan hingga tinggi yang dipenuhi oleh Taiwan setiap tahun.
Taiwan Excellence dalam satu kenyataan berkata, Taiwan mengeksport lebih daripada dua juta basikal tradisional di seluruh dunia.
“Eksport basikal jalan mencapai peratusan stabil 20 hingga 30 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini, manakala basikal bukit kini mengambil 60 peratus daripada eksport ke Amerika Syarikat semasa permintaan arus perdana terus meningkat.
“Malah, disebabkan oleh peningkatan populariti bagi pelbagai acara berbasikal yang berprofil tinggi dan menunggang santai sejak kebelakangan ini, permintaan untuk basikal jalan di pasaran Eropah adalah hampir sama dengan basikal bukit, dan pasaran Asia juga menunjukkan trend peningkatan yang sama tahun ke tahun,” katanya,
Menurut kenyataan itu lagi, dua syarikat basikal utama di Taiwan, Giant dan Merida telah menjadi jenama terkemuka di dunia dan basikal jalan mereka sering dipilih oleh penunggang basikal profesional serta pasukan mereka untuk pertandingan.
“Reputasi Taiwan sebagai ‘Dunia Basikal’ bukan hanya berdasarkan pada basikal itu sendiri kerana pengeluar komponen kami juga dihormati di peringkat antarabangsa.
“Contohnya, Kenda Tire telah dipilih oleh banyak jenama terkenal di seluruh dunia,” ujarnya.
-NIAGATIMES