Belanjawan 2019: Komitmen kerajaan perkukuh PKS

Pembentangan Belanjawan 2019 yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, membuktikan kesediaan pihak kerajaan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya terus berkembang pesat dan berdaya saing sebagai nadi utama pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam ucapannya, Guan Eng mengumumkan tujuh tindakan yang akan diperuntukkan kerajaan untuk merealisasikan matlamat memperkukuhkan PKS.

“Pertama, dana pembiayaan PKS oleh institusi kewangan komersial sebanyak RM4.5 bilion dengan 60% jaminan skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) termasuk RM1 bilion untuk PKS bumiputera.

“Kedua, bagi syarikat yang berpendapatan bercukai sehingga RM500,000 dan dengan modal berbayar kurang daripada RM2.5 juta, kadar cukai pendapatan korporat akan dikurangkan daripada 18% kepada 17%.

“Ketiga, menggalakkan eksport menerusi pembiayaan oleh EXIM Bank dengan menawarkan kemudahan kredit dan perlindungan takaful kepada pengeksport PKS berjumlah RM2 bilion.

“Keempat, memperuntukkan RM100 juta bagi menambah baik keupayaan industri PKS dalam industri halal untuk meningkatkan eksport dan seterusnya merealisasikan impian Malaysia untuk menjadi hab halal global menjelang 2020.

“Kelima, menyediakan Skim Pembiayaan PKS patuh syariah berjumlah RM1 bilion disediakan terutamanya untuk membiayai pengeksport produk halal oleh institusi kewangan Islam dengan kerajaan memberi subsidi kadar keuntungan sebanyak 2%.

“Keenam, Permodalan Usahawan Nasional Berhad juga akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada PKS bumiputera. Selain itu, RM100 juta akan diperuntukkan kepada TEKUN untuk membiayai usahawan kecil.

“Ketujuh, menyediakan RM20 juta untuk pelancaran kempen “Beli Barangan Malaysia” untuk menyokong produk dan perkhidmatan tempatan. Kempen ini akan dilaksanakan di peringkat akar-umbi bagi menyediakan platform kepada pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan untuk mendapatkan akses ke hypermarket, gedung membeli-belah dan ekspo perdagangan. Kementerian Kewangan akan memastikan produk dan perkhidmatan tempatan seperti peranti perubatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa akan mendapat akses yang sama dalam proses perolehan kerajaan,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

LGE1.png

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.