Belanjawan 2022: Usahawan dibantu segenap sudut

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2022 oleh Menteri Kewangan kerana memberi perhatian kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang sangat terjejas disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, belanjawan ini selari dengan usaha MEDAC membantu memulihkan golongan usahawan untuk bangkit semula dalam memperkasakan ekonomi negara.

“Penekanan Belanjawan 2022 yang memberi fokus kepada usaha menjana semula ekonomi negara akan memberi impak yang signifikan dalam meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran Keluarga Malaysia.

“Dalam mengembalikan keupayaan perniagaan, pakej pembiayaan sebanyak RM40 billion ringgit telah disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Antara insentif yang dapat dimanfaatkan:

(i) Peruntukan berjumlah RM4.8 bilion bagi melaksanakan Program Peningkatan Kapasiti dan Pembiayaan Perniagaan yang dilaksanakan oleh TEKUN, PUNB, dan Dana Kemakmuran Bumiputera;

(ii) Potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi dinaikkan daripada RM300 ribu kepada RM500 ribu dan dilanjutkan bagi tempoh 5 tahun sehingga 31 Disember 2025 untuk meningkatkan penglibatan syarikat anchor dalam membangunkan vendor Bumiputera;

(iii) Dana pembiayaan Skim Pembiayaan Usahawan Informal dan Mikro serta Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN;

(iv) Dana berjumlah RM230 juta bagi melaksanakan program pembiayaan untuk usahawan wanita yang terjejas melalui Program TEKUNITA oleh TEKUN dan Program DANANITA di bawah MARA;

(v) Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) berjumlah RM10 juta dan Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi berjumlah RM30 juta oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM);

(vi) Pendanaan melalui pelaburan equiti dan quasi-ekuiti bernilai RM600 juta yang akan diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama TERAJU dan BSN;

(vii) Insentif percukaian merangkumi penangguhan ansuran cukai pendapatan, pindaan anggaran cukai pendapatan perniagaan dan potongan cukai khas kepada pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan sewa;

(viii) Program latihan dan bimbingan perniagaan dan skim pembiayaan mudah kosong peratus bagi usahawan francais dengan peruntukan berjumlah RM74 juta yang akan dilaksanakan oleh PERNAS.

Tambah Noh, Belanjawan 2022 juga memberikan penekanan kepada pembangunan komuniti Perusahaan Sosial bagi meningkatkan impak sosial melalui aktiviti perniagaan dalam kalangan komuniti.

“MEDAC mengalu-alukan pengumuman pengecualian cukai ke atas sumber pendapatan Perusahaan Sosial sehingga 3 tahun taksiran dan akan menubuhkan Jawatankuasa Bersama Akreditasi dengan Yayasan Hasanah bagi mengakreditasi Perusahaan Sosial yang berkelayakan.

“Selain itu, kerajaan juga menyediakan peluang kepada Perusahaan Sosial untuk menyertai perolehan kerajaan melalui Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan akan diperluaskan di semua kementerian,” ujarnya.

-NIAGATIMES

KREDIT-FOTO-Noh-Omar.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.