Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyambut baik mandat Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung pengumuman Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ seiring dengan misi MDEC untuk pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif, saksama dan mampan.
Menurut MDEC, ia sekali gus mengukuhkan komitmen mereka bagi terus memacu inisiatif yang sedang berlangsung dan akan datang dalam mendemokrasikan akses ekonomi digital untuk rakyat Malaysia.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan 2024 sebagai tahun yang bakal melonjakkan perkembangan ekonomi serta pemerkasaan landskap digital.
“Malaysia telah muncul sebagai hab Asia Tenggara untuk peneraju industri pembangunan permainan apabila syarikat atau studio permainan video antarabangsa gergasi seperti Sony Playstation, Larian Studios, Codemasters Studios dan Bandai Namco telah mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan digital global.
“Peruntukan awal sebanyak RM20 juta bagi merintis penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan satu penanda aras ke arah memupuk bakat pembangunan AI dan penghasilan kandungan digital.
“Insentif peruntukan sebanyak RM30 juta pula, menjadi pemangkin kepada pembangun permainan global yang berpangkalan di Malaysia sekali gus dapat menggalakkan penciptaan harta intelek (IP) tempatan baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas MDEC, tambahan sebanyak RM60 juta yang diperuntukkan untuk Dana Kandungan Digital khusus membantu mempromosikan IP tempatan agar dapat merangsang pertumbuhan industri kreatif untuk berkembang dengan lebih pesat.
“Ketika dunia semakin rancak menuju ke era digital, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) harus menerimaguna teknologi dan inovasi baharu supaya dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan.
“Kami mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM165 juta bagi memperkukuhkan industri PMKS melalui inisiatif seperti geran digital, program Shop Malaysia Online untuk perniagaan dalam talian, di samping pemerkasaan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di semua Dewan Undangan Negeri (DUN),” ujarnya.
Tambah MDEC lagi, peruntukan ini juga sejajar dengan matlamat menyeluruh MDEC untukmeningkatkan daya saing melalui automasi dan pendigitalan serta memangkin pertumbuhan perniagaan.
“Selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang diumumkan baru-baru ini, Belanjawan 2024 memperkenalkan langkah komprehensif untuk menyokong syarikat pemula, PMKS dan usahawan dalam usaha mendigitalkan perniagaan mereka.
“Ini termasuk meningkatkan usaha berterusan dengan pembiayaan peralatan, geran sepadan, sokongan pembiayaan, pembangunan keupayaan dan program bimbingan untuk memacu penggunaan digital,” katanya.
-NIAGATIMES