Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik Belanjawan MADANI 2026 bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ yang menumpukan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara sambil melindungi kesejahteraan rakyat.
Dalam satu kenyataan, KUSKOP menegaskan bahawa Belanjawan 2026 merupakan bukti komitmen kerajaan dalam memperkasakan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), koperasi serta perusahaan sosial yang menjadi nadi kepada ekonomi tempatan.
Peruntukan kepada kementerian itu meningkat kepada RM1.015 bilion bagi tahun 2026 berbanding RM815.13 juta pada 2025, menandakan kenaikan sebanyak RM200.3 juta atau 24.6 peratus iaitu jumlah tertinggi yang pernah diterima KUSKOP setakat ini.
Belanjawan ini turut menampilkan kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan bernilai RM50 bilion bagi menyokong PMKS di seluruh negara, lebih besar berbanding tahun sebelumnya. Langkah ini selaras dengan pelaksanaan tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi meningkatkan pertumbuhan dan daya saing PMKS.
Antara insentif utama yang diumumkan termasuk RM20 juta bagi menambah tapak niaga peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, serta pelaburan RM250 juta oleh UDA Holdings Berhad untuk pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang dan Kedah.
Selain itu, SME Bank memperuntukkan RM100 juta pembiayaan khusus bagi PMKS halal, manakala TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro. Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut menerima RM50 juta untuk dana pembiayaan koperasi di seluruh negara.
Turut diumumkan, RM230 juta diperuntukkan kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi meneruskan pembiayaan kepada lebih 300,000 usahawan kecil, sementara RM270 juta disediakan oleh Bank Rakyat, SME Bank, BSN dan MARA bagi menyokong usahawan wanita.
Program seperti Jaguh Serantau SME Bank (RM200 juta), Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) (RM12 juta), serta program sokongan sosioekonomi kaum India (RM220 juta) turut diperkenalkan di bawah KUSKOP.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan semua inisiatif ini akan dipantau melalui Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
KUSKOP yakin Belanjawan 2026 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi negara serta memperkukuh ekosistem keusahawanan, sekali gus memastikan sektor PMKS dan koperasi kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia.
-NIAGATIMES






















































