Belanjawan Madani 2023 perkasa PMKS

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengalu-alukan pembentangan Belanjawan 2023 yang menyediakan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan nilai keseluruhan sehingga RM40 bilion.

KUSKOP berkata, peruntukan keseluruhan kepada kementeriannya bagi tahun ini berjumlah sebanyak RM732 juta yang merangkumi RM520 juta perbelanjaan pembangunan dan RM212 juta perbelanjaan mengurus.

“Ini merekodkan pertambahan RM182 juta berbanding belanjawan tahun lalu, khususnya perbelanjaan pembangunan yang ditambah sebanyak RM165 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara insentif yang dapat dimanfaatkan menerusi KUSKOP dan agensi ialah:

(1) Kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi RM150 ribu pertama dikurangkan daripada 17% kepada 15%

(2) RM50 juta bagi membina dan menaik taraf melibatkan 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara;

(3) RM176 juta disediakan bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan antaranya di bawah MARA, DBKL, Perbadanan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA)

(4) Kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), BSN dan TEKUN dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion:

a – RM300 juta untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia

b – Penyediaan pinjaman lebih RM1 bilion dengan tumpuan kepada PKS Mikro dan penjaja oleh BSN

c – RM330 juta oleh TEKUN Nasional termasuk RM10 juta untuk membantu belia daripada keluarga susah meraih pendapatan melalui perniagaan yang turut merangkumi pemberian modal memulakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal

(5) Dana pinjaman hampir RM10 bilion bagi perniagaan SME oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan;

(6) Jaminan sehingga RM20 bilion pinjaman PKS oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan Kerajaan sehingga 90% yang turut diperluas kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi;

(7) Dana pinjaman sehingga RM2 bilion oleh BNM bagi mendukung syarikat pemula teknologi lestari dan membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon

(8) RM100 juta di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS dan penjaja kecil dalam bentuk geran padanan sehingga RM5,000.00 akan dibayar kepada PKS yang melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem jualan POS, perakaunan atau pengurusan inventori; dan

(9) RM1 bilion dana pembiayaan di bawah BNM untuk membantu PMKS mengautomasikan proses perniagaan dan mendigitalkan operasi

KUSKOP mendokong fokus Belanjawan Madani menerusi 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu;

PERTAMA: Pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan;

KEDUA: Reformasi institusi dan tata kelola bagi memulih keyakinan dan

KETIGA: Keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan merupakan formulasi strategik yang akan membantu mengemudi negara mendepani tantangan ekonomi global dan memastikan kebajikan dan sosioekonomi rakyat terus terjaga dalam situasi yang kritikal ini.

“KUSKOP yakin bahawa pelaksanaan Belanjawan 2023 bertemakan Membangunkan Malaysia Madani dapat membangunkan sosioekonomi serta mengetengahkan solusi yang ampuh bagi membantu para usahawan dan koperasi ke arah kemampanan dan kelestarian perniagaan mereka,” jelasnya.

-NIAGATIMES

Gambar-hiasan-kredit-KUSKOP.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.