Belia Sarawak minat keusahawanan dapat suntikan geran RM15,000

Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM15,000.00 disediakan untuk menggalakkan belia Bumiputera Sarawak menceburi bidang keusahawanan melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 11 yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp. Malaysia pada tahun ini.

Majlis Peluncuran Program TUBE 11 Peringkat Wilayah Sarawak telah dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan di Perkampungan Sukan Sarawak (Sarawak Sports Village – SSV) semalam.

Program TUBE 11 Peringkat Wilayah Sarawak yang dilaksanakan bermula 21 Mei hingga 28 Mei 2025 disasarkan untuk melatih 61 peserta dalam kalangan belia Bumiputera Sarawak tahun ini. Program TUBE 11 yang melibatkan lebih 500 peserta turut dijalankan secara serentak di tiga zon lain iaitu Utara, Pantai Timur dan Tengah/Selatan manakala program di Sabah telah dilaksanakan pada bulan Februari yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy semasa ucapan aluannya menekankan tentang sokongan berterusan yang disediakan oleh pihaknya untuk usahawan Belia Bumiputera.

Menurutnya, “SME Corp. Malaysia akan terus komited dalam memantau perkembangan setiap peserta TUBE bermula dari saat mereka tamat latihan, memulakan perniagaan dan seterusnya akan memastikan perniagaan yang lebih dari dua tahun mempunyai potensi untuk ditingkatkan daripada saiz mikro kepada kecil melalui beberapa program penskalaan yang akan diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)”.

-NIAGATIMES

Pelancaran-TUBE-11-Sarawak.jpeg