Platform perkhidmatan lelongan hartanah Malaysia, Bidnow.my baru-baru ini telah melaksanakan urusan pendanaan mereka dari MyStartr, sebuah lesen Crowdfunding Recognized Market Operators oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, melepasi jumlah pendanaan sasaran sebanyak 385 peratus pada RM 1.93 juta, seterusnya menjadi pemegang rekod MyStartr yang terpantas dengan mencapai 100 peratus dalam masa sejam pertama dan jumlah pelabur tertinggi sebanyak 414 orang.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bidnow.my, Frankie Goh berkata, pihaknya bercita-cita besar selepas berjaya mencapai status platform perdagangan lelongan hartanah yang terbesar di Malaysia.
“Kami menetapkan sasaran untuk menarik lebih orang untuk menggunakan Perkhidmatan E-Auction yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2021 untuk menggantikan model lelongan tradisional dan untuk mempercepat proses transaksi selain daripada mengelakkan isu-isu yang akan terjadi dari cara kaedah lama,” katanya.
Bidnow.my akan menggunakan majoriti dananya untuk kos menaik taraf perisian dan operasi dengan sebahagiannya termasuk platform yang lebih komprehensif untuk menyediakan maklumat yang lebih mendalam mengenai harga rizab, rekod transaksi lepas, penilaian bank, tempat lelongan, imej hartanah dan kemaskini terkini hartanah lelong untuk kepentingan semua pihak yang terlibat termasuk pembeli hartanah, ejen hartanah, perkhidmatan perbankan dan badan kerajaan yang terlibat.
Pendanaan yang berjaya diperolehi dapat memajukan Bidnow.my untuk membina satu Pusat Sehenti Hartanah yang berfungsi untuk meningkatkan pendedahan terhadap sektor lelongan hartanah yang disenaraikan di bawah harga pasaran dan juga bercita-cita untuk memperluaskan pasaran di rantau Asia Tenggara.
-NIAGATIMES