Bina Puri Holdings Bhd telah berjaya meraih projek pembinaan Kompleks Mahkamah Agung yang terletak di Ramshahpath, Kathmandu, Nepal bernilai Nepalese Rupee NRs. 5.2billion atau bersamaan kira-kira RM183 juta.
Dalam pemfailan kepada Bursa menunjukkan bahawa Bina Puri bersama dengan Kalika Construction Pvt Ltd dan Samanantar Nirman Sewa Pvt Ltd telah menandatangani perjanjian usahasama untuk membentuk ‘Bina Puri – Kalika – Samanantar JV’ bagi melaksanakan projek yang dibiaya sepenuhnya oleh kerajaan Nepal tersebut.
Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Matthew Tee berkata, pihaknya terus menerus aktif dalam aktiviti pembidaan sama ada bagi projek dalam negeri mahupun di luar negara, iaitu bagi meningkatkan pendapatan mereka.
“Dengan anugerah kontrak terbaru ini, jumlah projek pembinaan bagi Kumpulan Bina Puri telah meningkat ke RM1.9 bilion,” katanya.
Projek tersebut telah dianugerahkan oleh Mahkamah Agung Nepal dengan tempoh pelaksanaan kerja selama 36 bulan.
Kerja pembinaan tersebut bagi membina sebuah kompleks mahkamah baru setinggi tujuh tingkat yang mengandungi dua buah ruang bawah tanah, bangunanan struktur berangka RCC dengan kemasan yang lengkap, kerja landskap, kerja-kerja mekanikal, paip dan elektrik termasuk alatan memadam api.
Bina Puri merupakan antara kontraktor Malaysia yang terawal melibatkan diri di luar negara sejak tahun 1995.
Sebelum ini, Bina Puri telah berjaya membina bangunan hotel lima bintang, Hyatt Regency Hotel di Kathmandu, Nepal pada April 2000 bernilai RM39 juta. Asia Development Bank (ADB) adalah antara pemegang utama saham utama bagi hotel tersebut.
-NIAGATIMES