Mimpi ngeri para usahawan akibat impak buruk Covid-19 nampaknya semakin beransur pergi. Jika sebelum ini kebanyakan anda mungkin resah bisnes tak jalan, aliran tunai merosot dan sebagainya, sekarang tiba pula masa melipat gandakan usaha bagi tindakan ‘serang balas’ betulkan semula hala tuju perniagaan.
Jika sebelum ini NiagaTimes pernah senaraikan lima petua berdepan cabaran Covid-19 kepada usahawan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula-mula diperkenalkan, kali ini kita lihat pula tindakan yang mesti usahawan buat dalam jangka masa pasca Covid-19 yang sedang dilalui ketika ini. Antaranya ialah:
(1) ATUR SEMULA KEWANGAN SYARIKAT
Bisnes telah dibenarkan beroperasi secara total sejak Jun lepas. Bermakna kegiatan ekonomi kembali rancak dan aliran tunai syarikat masing-masing pun mula merekodkan wang keluar dan masuk. Mungkin keuntungan tidaklah sehebat dahulu untuk sementara ini. Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan usahawan untuk berkata “Ah, kami masih perlukan masa!”
Ramai lagi usahawan lain senasib dengan anda dan mereka juga giat merangka kewangan syarikat masing-masing supaya lebih stabil. Ingatlah, ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’. Ambil nota, lakukan audit dan bersiap sedia untuk laksanakan perancangan anda, lebih-lebih lagi setelah tempoh moratorium berakhir 30 September 2020 nanti.
(2) PERKASAKAN SISTEM E-DAGANG
Ramai yang mula sedar bahawa penangan bisnes secara dalam talian atau ‘online’ ketika PKP lepas banyak memberi manfaat. Jika sebelum ini anda hanya cuba-cuba sahaja memulakan pendekatan bisnes cara begitu, mengapa tidak teruskan sahaja dengan lebih sistematik dan perhebatkannya?
Selain medium di laman sosial Facebook dan Instagram, anda juga boleh dapatkan khidmat pereka untuk bangunkan laman web serta aplikasi di telefon pintar. Ia kelak akan lebih mempelbagaikan produk atau jenama anda di pelbagai platform. Lebih-lebih lagi di zaman peralihan Revolusi Industri 4.0 sekarang, anda juga boleh ikuti pelbagai siri kursus dan dapatkan nasihat pakar berhubung perkara ini.
(3) MANFAATKAN INSENTIF PENJANA
Kesinambungan dari Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), diadakan pula Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion yang lebih khusus untuk membantu industri perniagaan dan usahawan. Anda wajar semak semula, ambil tahu dan nilaikan kedudukan syarikat di peringkat mana yang layak untuk menerima setidak-tidaknya salah satu daripada 40 inisiatif di bawah PENJANA ini.
Insiatif-inisiatif yang diwujudkan kerajaan melalui PENJANA adalah peluang terbaik kepada anda untuk lebih memperkukuhkan dan memulihkan perniagaan. Setiap daripada inisiatif itu juga akan dilaksanakan secara berperingkat, bermakna masih tidak terlambat untuk anda memohon jika memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan. Pastikan anda sentiasa peka dengan pengumuman-pengumuman terkini kerajaan di media cetak serta elektronik supaya tidak terlepas pandang.
(4) BERJIMAT TETAPI JANGAN KEDEKUT
Anda wajib berjimat tetapi janganlah sampai ke tahap kedekut! Bagaimana maksudnya ya? Begini, kurangkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya di syarikat anda. Sebagai contoh, dari segi penggunaan air, elektrik dan internet, pastikan tiada sebarang pembaziran terjadi. Tutup lampu, pendingin hawa jika tidak digunakan terutamanya sewaktu keluar rehat. Jika diamalkan dari hari ke hari, anda bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan, malah secara tidak langsung turut mendisiplinkan diri anda serta kakitangan dengan mengamalkan sikap terpuji.
Walaupun dari segi tersebut anda berjimat, jangan lupa lokek untuk melaburkan sedikit wang bagi tujuan promosi dan pemasaran. Rajin-rajinlah membelek platform iklan-iklan terutamanya media-media yang sedang mengadakan promosi iklan dengan harga yang lebih rendah. Untunglah dapat harga murah!
(5) MEMBERI DAN BERKONGSI REZEKI
Walapun perkara ini nampak remeh, tapi ia sebenarnya seolah-olah satu ‘kuasa ajaib’ yang berupaya menyumbang untuk perniagaan anda kembali pulih. Jika kena pada rezekinya, tidak mustahil juga bisnes anda akan bertambah baik. Pernah dengar ungkapan, “tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima?” Ada kebenarannya.
Mulakan beri sumbangan atau derma kepada golongan yang memerlukan. Secara psikologinya, tindakan ini dapat menyedarkan anda bahawa ada pihak yang lebih susah daripada anda. Ia mendidik diri anda untuk lebih positif, bersyukur dan berterima kasih. Setiap wang, idea atau kudrat yang anda berikan, akan berbalik semula kepada anda berlipat kali ganda. Sama ada cepat, atau lambat. Tak percaya? Cubalah.