Lebih 1,500 usahawan dari pelbagai sektor menyertai Program BizMatch Mega 2025 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), bagi memperkukuh jaringan perniagaan serta memberi akses langsung kepada agensi pembiayaan dan keusahawanan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkasa agenda pembangunan usahawan melalui pendekatan inklusif dan berfokus.
“Ramai yang terpaksa menangguhkan hasrat memulakan perniagaan kerana kekangan modal. Namun kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan bagi menyokong mereka.
“Kebergantungan kepada pinjaman bank bukan satu-satunya jalan. Justeru, PKNS tampil sebagai pemudah cara melalui platform BizMatch ini,” pada majlis perasmian Program BizMatch Mega 2025 di Dewan Raja Muda Musa, hari ini.
Program itu menghimpunkan lebih 30 agensi berkaitan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Agro Bank, TEKUN Nasional, SME Bank, MARA, Lembaga Zakat Selangor, MATRADE dan SIRIM Berhad bagi menawarkan khidmat nasihat, pembiayaan serta program pembangunan usahawan.
BizMatch Mega 2025 juga menampilkan Pavilion PKNS BizPoint yang menyediakan maklumat berkaitan program keusahawanan, projek hartanah PKNS, serta peluang menyertai BizClub PKNS – rangkaian usahawan eksklusif di bawah naungan PKNS.
Dalam majlis sama, Amirudin turut melancarkan Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2025 yang dijadual berlangsung dari 28 hingga 30 November depan.
Program kali ini merupakan siri ketiga daripada empat penganjuran BizMatch PKNS sepanjang tahun ini, selepas BizMatch Networking pada Februari dan BizMatch Pasaran Jepun di Osaka pada Jun lalu.
Turut memeriahkan acara ialah Jualan Rahmah MADANI oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd, yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan kepada para pengunjung.
-NIAGATIMES






















































