Program padanan perniagaan Bank Rakyat BizMatch: Make Malaysian Businesses Great yang diadakan di Tokyo, Jepun berpotensi menjana urus niaga melebihi RM500 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata, potensi tersebut dikenal pasti hasil sesi padanan perniagaan dan perbincangan yang berlangsung pada 9 Jun lalu melibatkan tujuh syarikat Malaysia dan 27 syarikat Jepun.
Menurutnya, urus niaga berpotensi itu merangkumi pelbagai sektor termasuk makanan, pertanian, pembuatan berasaskan komoditi dan teknologi hijau, namun masih tertakluk kepada rundingan lanjut, proses kelayakan produk, kelulusan kawal selia serta pemeteraian perjanjian komersial.
“Program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memperluas akses pasaran dan mengukuhkan jaringan perniagaan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Steven Sim berkata inisiatif berkenaan dianjurkan oleh Bank Rakyat dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sempena Nikkei Forum Future of Asia 2026 yang berlangsung di Tokyo.
Beliau berkata usaha memperluas pasaran eksport dan membina rangkaian kerjasama antarabangsa merupakan antara fokus utama KUSKOP menerusi komponen ‘Drive Market Access’ dalam kerangka ABCD kementerian itu.
Menurutnya, dalam keadaan ekonomi global yang masih dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik dan cabaran rantaian bekalan, PMKS perlu dibantu untuk berkembang dan merebut peluang pasaran yang lebih besar, bukan sekadar mengekalkan kelangsungan perniagaan.
Pada majlis sama, Bank Rakyat turut menyalurkan pembiayaan hampir RM300 juta kepada tujuh syarikat Malaysia yang menyertai program berkenaan bagi menyokong pengembangan operasi, peningkatan kapasiti pengeluaran dan penerokaan pasaran baharu.
Steven Sim berkata gabungan akses kepada pembiayaan dan akses kepada pasaran diyakini mampu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing di peringkat serantau dan global.
Beliau berkata kejayaan itu meneruskan momentum positif yang dicapai menerusi sesi padanan perniagaan ‘Make Malaysian Businesses Great’ sempena Makkah Halal Forum 2026 di Arab Saudi pada Februari lepas, yang merekodkan potensi urus niaga bernilai RM2 bilion.
Katanya, lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun baru-baru ini turut membuka peluang baharu kepada syarikat tempatan untuk meneroka pasaran antarabangsa dan menjalin kerjasama strategik dengan rakan niaga luar negara.
-NIAGATIMES




















































