Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kini boleh memohon pembiayaan menerusi Kemudahan Kestabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility, SME SRF) bernilai RM5 bilion yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata kemudahan itu menyediakan pembiayaan sehingga RM750,000 kepada PMKS yang layak dengan kadar faedah atau keuntungan maksimum 3.75 peratus setahun.
Menurut beliau, pembiayaan tersebut disalurkan melalui 18 institusi kewangan yang mengambil bahagian termasuk Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan SME Bank di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Permohonan dibuka mulai 15 Mei hingga 31 Disember 2026 atau sehingga keseluruhan dana RM5 bilion digunakan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, KUSKOP menggesa semua institusi kewangan terlibat supaya mempercepatkan proses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan segera kepada PMKS yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa.
Katanya, pendekatan lebih fleksibel, mesra PMKS dan praktikal juga perlu dilaksanakan khususnya dalam menilai permohonan daripada perusahaan mikro dan perniagaan kecil.
Dalam pada itu, beliau berkata tambahan dana RM5 bilion daripada BNM bersama jaminan tambahan RM5 bilion oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) menjadikan jumlah keseluruhan dana dan jaminan untuk sektor PMKS tahun ini meningkat kepada RM60 bilion.
Jumlah itu, katanya, lebih tinggi berbanding RM50 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 dan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh daya tahan serta daya saing PMKS negara.
Beliau berkata inisiatif itu juga penting dalam membantu sektor PMKS terus berkembang meskipun berdepan cabaran ekonomi global termasuk krisis bekalan tenaga dunia.
-NIAGATIMES




















































