Bank Negara Malaysia (BNM) optimis aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia akan kekal stabil pada 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Timbalan Gabenor BNM, Marzunisham Omar, berkata prospek tersebut disokong oleh beberapa perkembangan positif termasuk perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
“Perjanjian perdagangan dengan AS telah memberikan kepastian yang lebih jelas untuk Malaysia, dan ini merupakan petanda baik bagi pelabur yang ingin menjalankan pelaburan baharu atau mengembangkan pelaburan mereka di negara ini,” katanya.
Beliau berkata inisiatif pembaharuan berterusan kerajaan serta usaha memperkukuh ekosistem perniagaan turut menyumbang kepada daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk FDI.
“Langkah-langkah untuk memenuhi permintaan tenaga kerja mahir turut meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya sambil menegaskan bahawa persekitaran global kekal sebagai faktor penting yang mempengaruhi aliran pelaburan.
Sementara itu, Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata industri pusat data kini muncul sebagai antara penyumbang terbesar kepada FDI negara.
“Terdapat petanda pusat data telah mula menyumbang kepada eksport perkhidmatan ICT Malaysia. Antara tempoh Januari hingga September 2025, eksport perkhidmatan pusat data berjumlah RM10.7 bilion, jauh lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa angka pertumbuhan tidak seharusnya dilihat secara terpencil.
“Kejayaan ini bukan sekadar mencerminkan angka, tetapi tentang memastikan pelaburan ini mewujudkan manfaat jangka panjang untuk negara,” ujarnya.
Abdul Rasheed menjelaskan bahawa pusat data memerlukan penggunaan tenaga dan air yang besar walaupun menawarkan pekerjaan langsung yang terhad. Justeru, strategi mampan diperlukan untuk memaksimumkan limpahan ekonomi.
“Kunci terletak pada pelaksanaan dasar yang berkesan, termasuk menguruskan kesan penggunaan sumber, mengurangkan kebergantungan import dan membangunkan bakat yang dilengkapi kemahiran berkaitan industri,” katanya.
Dengan asas-asas kukuh ini, Malaysia dijangka kekal sebagai destinasi berdaya saing untuk pelaburan asing dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
-NIAGATIMES






















































