SME Corp. Malaysia (SME Corp) melihat langkah untuk membuka ekonomi secara beransur-ansur adalah penting bagi memastikan proses pemulihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat dimulakan dengan segera memandangkan kebanyakan daripada mereka kini bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, tinjauan yang dilakukan pihaknya dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mendapati bahawa sektor PKS amat terkesan dan mungkin tidak dapat bertahan jika perniagaan mereka terus ditutup sehingga bulan Oktober.
โAntara cabaran utama yang dihadapai oleh PKS jika perlu menutup perniagaan dalam jangka masa panjang adalah kekangan aliran tunai perniagaan serta gangguan rantaian bekalan.
โOleh itu, PKS bukan sahaja memerlukan pembiayaan, tetapi juga perlu mempertingkatkan kemahiran, keupayaan dan kapasiti serta bimbingan,โ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, Rizal memaklumkan bahawa kerajaan telah memperkenalkan inisiatif seperti Pembiayaan Pengukuhan PKS dan skim pembiayaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi menangani situasi tersebut.
โSkim ini telah disalurkan melalui SME Corp dan dilaksanakan oleh MIDF untuk memudah cara PKS yang berdaya maju yang mempunyai kekangan kewangan dan sektor yang terpinggir.
โMelalui cara pembiayaan yang cepat dan fleksibel, skim ini dilihat dapat membantu mengukuhkan perniagaan PKS, menguruskan aliran tunai mereka dengan lebih baik, meningkatkan produktiviti dan sekaligus dapat mengekalkan pekerjaan,โ ujarnya.
Tambah Rizal, SME Corp juga telah membangunkan portal MyAssist MSME, sebuah platform sehenti khidmat perniagaan dalam talian untuk membantu PKS menentukan hala tuju perniagaan dalam norma baharu dan berkembang maju dalam realiti pasca pandemik.
โPKS dapat dibantu dalam menguruskan isu atau masalah yang berkaitan dengan perniagaan mereka melalui penyediaan khidmat nasihat perniagaan dan maklumat kemudahan kewangan, fasilitasi perdagangan, sokongan teknologi, pemadanan perniagaan, peluang pemasaran digital serta penerapan e-dagang,โ jelasnya.
-NIAGATIMES